Iklan

Kerajaan bincang longgar syarat ambil pekerja asing Jumaat ini, kata Hishammuddin

Chan Kok Leong3 years ago14th Dec 2021Berita
Migrant workers 270417 tmiseth 001
Kerajaan bakal melonggarkan syarat pengambilan pekerja asing susulan keluhan pelbagai sektor mengenai kekurangan pekerja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Disember, 2021.
Iklan

PUTRAJAYA pada dasarnya bersetuju melonggarkan syarat yang diperlukan untuk membawa masuk lebih ramai pekerja asing, kata Hishammuddin Hussein.

“Tetapi akan ada syarat baharu untuk dikuatkuasakan oleh kementerian,” kata menteri kanan (pertahanan) itu dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Sembrong berkata perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet pada Jumaat.

Hishammuddin menjawab pelbagai rungutan daripada pelbagai sektor mengenai kekurangan pekerja asing.

Pada September, kerajaan bersetuju meluluskan 32,000 pekerja asing baharu untuk sektor perladangan sahaja, selepas membekukan pengambilan pekerja asing akibat wabak Covid-19.

Sementara itu, Hishammuddin berkata beliau menyokong pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit untuk menaikkan denda bagi perniagaan yang didapati melanggar prosedur operasi standard Covid-19.

“Denda sedia ada terlalu kecil berbanding keuntungan diperoleh syarikat dan ia tidak cukup sebagai pencegahan. Syarikat yang membuat keuntungan berbilion ringgit mampu membayar denda RM1,000 dengan mudah.

“Oleh itu, akta berkenaan perlu dipinda untuk meningkatkan denda,” kata Hishammuddin, yang juga bertanggungjawab bagi Majlis Keselamatan Negara.

Merujuk kepada insiden Aspirasi Keluarga Malaysia baru-baru ini yang menyaksikan penganjur didenda RM1,000 kerana gagal mengawal orang ramai dengan betul, Hishammuddin berkata ramai mengadu denda itu terlalu rendah.

“Penganjur berjanji mengawal orang ramai apabila mereka meminta kelulusan tetapi gagal. Oleh itu, tidak adil berkata kerajaan telah gagal,” katanya.

Hishammuddin menambah kerajaan tidak mendiskriminasi sama ada penganjur kerajaan, swasta atau pertubuhan masyarakat sivil. – 14 Disember, 2021.

Iklan
Iklan