PKR tidak boleh menang kerusi di Sarawak, kata penganalisis
Iklan
MASALAH kepimpinan PKR di Sarawak bakal menyukarkan parti itu untuk menang satu kerusi pun dalam pilihan raya negeri (PRN) minggu depan, kata penganalisis politik.
PKR berdepan cabaran hebat di Sarawak, ditambah dengan jentera yang hampir tidak ada dan kurangnya panduan dari ibu pejabat parti, kata mereka.
Felo Kanan Majlis Profesor Negara Jeniri Amir berpandangan PKR sedang menempa kegagalan biar di kerusi mana sekali pun yang ditandinginya.
“Baik mereka bertanding di kerusi kategori A atau F sekali pun, tidak mustahak. PKR itu sendiri tidak menyerlah. Pada waktu kemuncak kekuatannya pada 2016 pun ia hanya menang tiga kerusi,” katanya, merujuk PRN Sarawak lima tahun lalu.
“Berdasarkan keputusan 2016, keseluruhan undi yang PKR dapat hanya 10%.
“Apa yang menyebabkan (presiden PKR) Anwar Ibrahim fikir PKR sangat kuat? Sekurang-kurangnya DAP dapat 20% daripada keseluruhan 1.1 juta undi,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Awal bulan ini, Anwar mendakwa partinya diberikan kerusi yang sukar untuk dimenangi dalam PRN Sarawak yang akan berlangsung 18 Disember ini.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu mendakwa partinya diberikan kerusi yang beliau istilahkan sebagai “kategori F” oleh parti sekutunya di negeri itu.
Tanpa Baru Bian dan Larry Sng, yang tidak lagi bersama PKR kali ini, Jeniri melihat parti itu tidak tentu hala di Sarawak.
“Sekarang ia tidak ada pengerusi di peringkat negeri. Tanpa pemimpin berpengaruh seperti Baru Bian, ia sekarang macam tiada arah tujuan,” kata Jeniri.
“Ditambah dengan jentera di akar umbi yang lemah, saya boleh simpulkan sangat sukar untuk mereka menang kerusi.
“Tidak ada harapan untuk mereka dalam pilihan raya kecuali mereka boleh cari seorang pemimpin yang berpengaruh seperti Baru,” tambahnya.
Jeniri melihat PKR mungkin boleh memberikan cabaran di Telang Usan, sebuah kerusi majoriti Orang Ulu, tetapi ia belum tentu boleh menang.
Telang Usan ditandingi empat calon iaitu Dennis Ngau dari Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gia Bala dari Parti Bumi Kenyalang (PSB), Philip Jau (PKR) dan Jau Jok @Jenggo dari Parti Sarawak Bersatu (PSB).
Semasa percaturan politik Langkah Sheraton yang menjatuhkan kerajaan PH, Baru yang ketika itu pengerusi PKR Sarawak meninggalkan parti dan kemudian menyertai PSB.
Sng yang mengambil alih kepimpinan negeri kemudian mengumumkan hasrat letak jawatan pada Disember tahun lalu, yang kemudian diumum secara rasmi pada Februari 2021.
Beliau kini timbalan presiden Parti Bangsa Malaysia, sebuah parti baharu yang mengambil alih Parti Pekerja Sarawak.
Menurut Jeniri, PKR pernah jadi parti pembangkang nombor dua di Sarawak tetapi tempat itu sekarang diduduki PSB.
“DAP masih parti paling kuat. PKR sudah dipotong oleh PSB yang diketuai bekas pemimpin berpengalaman dari Barisan Nasional,” katanya.
Dalam pilihan raya umum 2018, PKR menang tiga kerusi parlimen tetapi selepas kerajaan PH di persekutuan jatuh, tiga wakil rakyatnya keluar parti dengan dua daripadanya menyertai PSB dan seorang masuk Bersatu.
Tiada jentera
Penganalisis politik James Chin dari Universiti Tasmania berkata kelemahan PKR di Sarawak diburukkan lagi dengan lemahnya jentera pilihan raya parti.
“Mereka tiada jentera dan selepas dua pemimpin utamanya meninggalkan parti (Baru dan Sng) mereka tiada pemimpin,” katanya.
Sesetengah calon PKR juga mula membuat keputusan sendiri tanpa menunggu bantuan ibu pejabat, tambahnya.
“Dalam pilihan raya, perlu ada jeneral. Tanpa jeneral, tidak boleh hendak berkempen. Kalau kita lihat pada calon-calonnya, mereka yang kuat ialah yang sudah menyusun jentera sejak setahun setengah yang lepas,” katanya.
Selepas PRN ini, Chin berpendapat PKR bermuhasabah tentang hala tujunya di Sarawak.
“Ujian selepas ini ialah Pilihan Raya Umum ke-15, yang hanya beberapa bulan saja lagi. Sekiranya mereka tidak bersedia dan mengatur semula parti, mereka akan kalah teruk juga,” katanya.
Tiada pedoman
Felo kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Oh Ei Sun pula berkata sudahlah tiada kepimpinan negeri, PKR Sarawak juga tidak mendapat pedoman daripada pemimpin parti di Kuala Lumpur.
“Pemimpin parti yang baharu, jika ada, tidak begitu dikenali rakyat Sarawak.
“Tidak ada banyak campur tangan dari ibu pejabat PKR. Pada masa ini mereka perlukan pedoman kerana tiada kepimpinan negeri,” katanya.
Oh juga mengkritik PKR kerana cuba mengambil kerusi daripada DAP ketika ia sendiri tidak tentu hala.
PKR sepatutnya bertanding 47 kerusi tetapi kemudian dilaporkan meminta tambahan kerusi, yang sesetengahnya tidak mahu diberikan oleh DAP.
Ia kemudian mengumumkan bertanding 28 kerusi.
Sarawak mempunyai 82 kerusi negeri yang akan ditentukan 1.25 juta pengundi pada 18 Disember ini. – 15 Disember, 2021.