Iklan

GPS kini boleh cakap besar tentang MA63, kata penganalisis

Desmond Davidson3 years ago15th Dec 2021Berita
Iklan

GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) kini boleh mendakwa sebagai juara hak negeri selepas Dewan Rakyat meluluskan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menyelaraskan statusnya dengan Perjanjian Malaysia (MA63), kata pakar Asia di Universiti Tasmania James Chin.

Ia boleh dilihat melalui kempen GPS dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang sedang berlangsung di mana setiap parti bertanding turut mendakwa mereka juara MA63.

MA63 merupakan isu emosi bagi rakyat Sarawak yang akan mengundi Sabtu ini selepas bertahun-tahun hak negeri terhakis dan pembangunan serta peluang ditentukan kerajaan persekutuan di Semenanjung, kata Chin.

“Naratif ringkas memudahkan setiap rakyat Sarawak faham,” katanya pada webinar dalam talian mengenai PRN Sarawak malam tadi.

Chin berkata ketika parti lain bercakap tentang “mendapatkan kembali hak”, GPS satu-satunya gabungan yang membuktikan ia boleh buat.

Chin berkata Pakatan Harapan (PH) cuba mengembalikan status Sarawak dan Sabah seperti dalam MA63 ketika mereka memegang kuasa persekutuan selepas pilihan raya umum 2018, tetapi gagal.

Beliau merujuk kepada percubaan pada 2019 apabila cadangan PH untuk meminda Perkara 1(2) Perlembagaan untuk memulihkan status Sabah dan Sarawak mengikut apa yang dipersetujui dalam MA63, gagal mendapat sokongan dua pertiga ahli Parlimen.

Hanya 138 ahli Parlimen menyokong rang undang-undang itu, kurang 10 undi daripada majoriti dua pertiga yang diperlukan daripada 148 undi.

Kesemua 18 ahli Parlimen GPS tidak menyokong rang undang-undang itu berhubung perkataannya dan cara ia dibentangkan.

GPS ialah gabungan empat parti Sarawak iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sebagai parti peneraju, Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Ia mempunyai kelebihan sebagai penyandang dan juga sebahagian daripada kerajaan persekutuan.

“PBK bercakap saja tetapi tiada buktikan apa-apa,” katanya merujuk kepada Parti Bumi Kenyalang, sebuah parti yang cuma ada satu perkara dalam manifestonya, iaitu untuk bawa Sarawak keluar dari Malaysia jika ia menang PRN.

“Cuma GPS sahaja ada sesuatu untuk ditunjukkan.” – 15 Disember, 2021.

Iklan
Iklan