Subsidi tiket penerbangan ke Sarawak kurang sambutan
Iklan
INISIATIF Pemuda Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (KLSCAH) menawarkan subsidi tiket penerbangan kepada pengundi yang ingin pulang ke Sarawak bagi mengundi pada pilihan raya negeri (PRN) Sabtu ini kurang mendapat sambutan.
Setakat ini cuma 73 orang yang memohon sejak inisiatif itu dilancarkan pada 11 Disember, kata Pengerusi Pemuda KLSCAH Siah Kwong Liang.
“Setakat ini kami cuma terima 73 permohonan, kurang dapat sambutan.
“Daripada jumlah itu pula, hanya 50 orang yang layak. Selebihnya tidak layak sebab mereka bukan pengundi berdaftar,” beliau memberitahu The Malaysian Insight.
Siah berkata sambutan dingin itu mungkin kerana pengundi tidak mahu pulang pengundi.
“Orang ramai pun tak berminat hendak balik mengundi, tak seperti pilihan raya umum 2018.”
Pemuda KLSCAH menawarkan subsidi tiket penerbangan sebanyak RM200 kepada 100 pengundi berdaftar, dan tawaran dibuka sehingga esok.
Inisiatif itu diuar-uarkan sehari selepas tarikh PRN Sarawak diumum pada 24 November lalu.
Pemuda KLSCAH berkata subsidi tiket penerbangan akan menggunakan lebihan dana bagi inisiatif UndiRabu pada 2018 untuk menampung kos pengangkutan rakyat Malaysia yang pulang mengundi semasa Pilihan Raya Umum ke-14.
UndiRabu berjaya mengutip sumbangan sebanyak RM201,536 dan berjaya menampung kos pengangkutan seramai 1,300 pengundi termasuk kira-kira 300 pengundi di luar negara.
“Masih ada baki RM17,983.75, jadi kami putuskan untuk gunakannya untuk PRN Sarawak,” kata Siah.
DUN Sarawak sepatutnya terbubar pada 7 Jun lalu namun ia tidak dapat dilaksanakan berikutan perisytiharan darurat di seluruh negara bermula 11 Januari hingga 1 Ogos bagi membendung pandemik Covid-19.
Apabila darurat di seluruh negara berakhir, Yang di-Pertuan Agong sekali lagi mengisytiharkan darurat di Sarawak bermula 2 Ogos hingga 2 Februari 2022.
Darurat di Sarawak ditarik balik pada 3 November, sekali gus DUN terbubar secara automatik dan memberi laluan kepada PRN yang mesti diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh tersebut.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 18 Disember sebagai tarikh pengundian PRN Sarawak ke-12. Penamaan calon telah diadakan pada 6 Disember manakala pengundian awal pada Selasa lalu.
Harga tiket penerbangan ke Sarawak melambung tinggi sehingga mencecah lebih RM1,000 selepas tarikh pilihan raya negeri diumumkan.
Harga tiket kemudian turun selepas Kementerian Pengangkutan Sarawak dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBN) meluluskan tambahan 42 penerbangan mingguan dari Semenanjung dan Sabah ke Sarawak terhad dari 11 Disember hingga 5 Januari 2022.
Berdasarkan pemantauan jualan tiket oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), purata harga tiket penerbangan sehala dari Kuala Lumpur ke Kuching antara 11 hingga 31 Disember ini adalah RM360.
Harga tiket yang melambung tinggi juga antara sebab mengapa Pemuda KLSCAH menawarkan subsidi bagi menggalakkan rakyat Sarawak pulang mengundi, kata Siah.
Semakan The Malaysian Insight menerusi aplikasi Google Flights semalam mendapati syarikat penerbangan Malindo Air menawarkan harga RM551 bagi tiket dua hala ke Sarawak iaitu pergi sehari sebelum PRN dan balik pada 19 Disember.
AirAsia pula menawarkan RM740 bagi perjalanan pergi balik untuk tempoh sama, sementera RM770 jika menaiki Malaysia Airlines. – 16 Disember, 2021.