PRN Sarawak medan ujian untuk PRU, kata penganalisis
Iklan
PEMIMPIN politik khususnya daripada Umno, mungkin mengikuti rapat Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, mencari isyarat bila masa paling tepat mengadakan pilihan raya umum (PRU), kata penganalisis pada satu forum malam tadi.
“Kita semua tahu apa keputusannya,” kata Ibrahim Suffian daripada Merdeka Centre, membayangkan Gabungan Parti Sarawak (GPS), sekutu empat parti yang dipimpin Ketua Menteri Abang Johari Openg akan menang PRN ini.
Ibrahim berkata pemimpin politik akan melihat kepada margin kemenangan, bagaimana Abang Johari akan menangani percanggahan dalaman dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
Jawapan kepada semua itu, katanya akan menjadi penentu kepada PRU.
“Ramai ahli politik di Kuala Lumpur sedang memerhati Sarawak bagi mengukur momentum untuk PRU.
“Jika GPS menang, maknanya mood ada pada mereka dan mungkin mereka akan menggesa supaya PRU diadakan lebih cepat.”
Ibrahim senada dengan khabar angin tentang kerajaan mungkin mengadakan PRU sebelum Ramadan, yang akan bermula pada 3 April.
Ibrahim berkata antara sekarang dan waktu itu akan menjadi tempoh politik yang huru hara dalam Umno, kerana perbalahan sama ada PRU awal atau pemilihan parti awal.
Katanya, jika PRU tidak diadakan tidak lama lagi, maka persoalan besar kepada pempimpin pembangkang ialah adakah mereka ada masa mencukupi untuk pulih selepas tewas pada PRN Melaka dan mungkin Sarawak.
“Mereka menuju ke arah waktu yang sukar. Tahun 2022 akan menjadi tempoh panjang untuk muhasabah diri, merawat luka dan mencari cara untuk kembali.
“Adakah mereka mampu buat semua itu? Masa yang akan tentukan.” – 16 Disember, 2021.