Iklan

Jangan sorok kes buli di sekolah, kata ibu bapa

Diyana Ibrahim3 years ago17th Dec 2021Berita
School
Ibu bapa mendesak Kementerian Pendidikan untuk lebih tegas menangani kes buli di sekolah yang masih berulang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Disember, 2021.
Iklan

PIHAK pengurusan sekolah sepatutnya tidak merahsiakan kes buli yang berlaku di sekolah mereka kerana tindakan itu tidak membantu menyelesaikan masalah sebaliknya boleh menyebabkan ia berulang, kata ibu bapa.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight, beberapa kes buli yang berlaku dilaporkan media sejak minggu lalu kini menyebabkan mereka bimbang akan keselamatan anak-anak yang bersekolah asrama.

Mereka juga mendesak Kementerian Pendidikan lebih tegas menangani isu buli, yang berulang dari masa ke masa.

Zainol Busral, 54, berkata biarpun memahami pihak sekolah tidak mahu mengeruhkan keadaan atau merisaukan ibu bapa namun ibu bapa juga berhak mengetahui keadaan yang berlaku di sekolah.

“Biasanya kita dengar kalau ada aduan tentang kes keganasan atau buli, pihak sekolah akan minta untuk diselesaikan secara dalaman. Saya tidak tahu apa sebabnya, mungkin nak jaga nama baik sekolah.

“Tapi cara itu tidak membantu, sebab bila didiamkan maka inilah kesannya yang kita nampak… insiden sama berulang. 

Beliau yang mempunyai anak di sekolah asrama mengulas sekurang-kurangnya empat kes buli yang berlaku di empat buah sekolah berasrama penuh iaitu tiga di Pahang dan sebuah di Perak, yang dilaporkan kepada polis minggu lalu.

Mangsa dalam tiga kes itu didapati menyembunyikan kejadian dan hanya membuat laporan polis setelah balik bercuti ke rumah dan disedari oleh keluarga, sementara satu kes jadi perhatian umum selepas rakaman video kejadian tular di media sosial.

“Sepatutnya kes buli ini perlu dimaklumkan (kepada ibu bapa) supaya ibu bapa pun boleh bersama ambil peranan,” tambah Zainol.

Polis membuka siasatan ke atas kesemua empat kes buli di sekolah asrama di Pahang dan Perak minggu lalu mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan merusuh.

Sepuluh pelajar juga dibuang daripada Maktab Rendah Sains Mara Sultan Azlan Shah di Kuala Kangsar, Perak kerana terlibat dan bersubahat kejadian membuli dan memukul seorang pelajar.

Utamakan keselamatan pelajar

Sementara itu, Maziah Ramli, 41, yang anaknya juga bersekolah di asrama penuh berpendapat pihak pengurusan sekolah harus mengutamakan keselamatan pelajar lebih daripada nama baik sekolah.

“Memang pihak sekolah kena lebih celik kalau pelajar buat aduan tak bolehlah nak diam nak tutup kes, kena kerap buat pemantauan. Sekolah ada warden tapi kenapa masih boleh ada kes.

“Biarpun pihak sekolah kata itu kes terpencil tapi tetap tak boleh diamkan diri.

“Sebab diamkan diri inilah, pelajar yang membuli ini rasa mereka kebal,” katanya, yang mengaku bimbang terutama kerana anaknya sangat pendiam dan pernah jadi mangsa buli semasa di sekolah rendah.

Beliau menceritakan pengalaman anaknya yang “buat perangai” tidak mahu ke sekolah kerana dibuli.

“Dia pernah kena buli semasa dia darjah dua, waktu itu dia buat perangai tak nak ke sekolah dan walaupun kita tanya apa sebab anak saya langsung tak nak bercakap.

“Perkara ini terbongkar semasa dia tingkatan dua. Sekarang anak saya berusia 15 tahun dan dia masih trauma,” katanya.

Kesedaran

Sementara itu, aktivis antibuli di sekolah Dr Nurul Kharmila Abdullah berharap pihak Kementerian Pendidikan dan sekolah lebih proaktif dan konsisten cuba meningkatkan kesedaran mengenai kes keganasan dan buli di sekolah.

Beliau mengakui dasar dan modul yang ada di Kementerian Pendidikan baik tetapi ia tidak memadai jika tidak dilaksanakan secara berterusan.

“Umpama kalau kita ada alat pembersih vakum paling mahal sekali pun kalau tidak digunakan berhabuk juga,” katanya.

Berdasarkan pengalamannya, Dr Nurul Kharmila berkata kempen seumpama itu bergantung pada kesungguhan pihak sekolah dan perlu dibuat berulang-ulang kali.

“Saya tengok sekolah ini kadang mereka fikir buat ceramah seminggu sekali sudah cukup tapi sebenarnya tidak.

“Kempen kesedaran buli ini patut dibuat secara berterusan dan konsisten. Kita perlu mengingatkan pelajar, tanamkan dalam minda mereka,” katanya yang selalu dijemput memberi ceramah antibuli di sekolah.

Dr Nurul Kharmila adalah penggerak kempen “You Touch, You Go” yang beliau mulakan empat tahun lalu selepas anaknya jadi mangsa buli di sebuah sekolah berasrama penuh.

Beliau yang juga pakar forensik tidak menafikan ada pihak pengurusan sekolah yang merahsiakan kes buli terutama di sekolah berasrama penuh, kononnya untuk menjaga nama baik sekolah.

“Ada juga pihak sekolah yang ingin selesaikan secara dalaman maksudnya kes itu tidak dihebohkan tetapi tindakan diambil.

“Saya rasa ibu bapa tidak akan bising sebab mereka nampak apa pihak sekolah buat.

“Tapi kes yang hanya mendiamkan diri, itu yang kita tak mahu berlaku,” tambahnya. – 17 Disember, 2021.

Iklan
Iklan