Iklan

Parti Melayu perlu ubah corak politik naungan, kata Maszlee

49932819027 3e070620e0 b
Bekas menteri pendidikan Maszlee Malik berkata parti politik Melayu perlu meninggalkan amalan politik naungan yang menjadi punca keruntuhan moral dan jati diri pemimpin politik Melayu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Disember, 2021.
Iklan

PARTI politik Melayu perlu meninggalkan amalan politik naungan kepada politik idea yang lebih sihat bagi membanteras rasuah dan penyelewengan, kata Maszlee Malik.

Bekas menteri pendidikan itu berkata budaya politik naungan yang melibatkan politik wang itu adalah punca kepada keruntuhan moral dan jati diri pemimpin politik Melayu.

“Isu 1MDB hasil daripada budaya politik yang membarah, budaya politik kita naungan, dalam kalangan Melayu, Islam, sudah berakar umbi budaya politik naungan.

“Kena banyak duit beli orang untuk naik ketua cawangan, ketua bahagian, kerana bila jd ketua bahagian lebih cerah untuk jadi Adun, ahli Parlimen.

“Oleh kerana duit dilabur untuk menjadi ketua cawangan atau ketua bahagian, bila dia jadi Adun kalau habis RM1 juta kena jana RM10 juta atau RM2 juta, baru balik modal,” kata Maszlee.

Beliau berkata demikian dalam forum khas yang disiarkan Sinar Harian malam tadi secara atas talian. 

Politik naungan adalah budaya memberikan imbuhan kepada penyokong, terutamanya ketika pemilihan parti untuk calon menang satu-satu jawatan yang ditandingi.

Melalui cara itu Maszlee berkata untuk memastikan mereka yang menang mendapatkan kembali dana yang dilaburkan maka istilah dana politik digunakan untuk membolehkan pihak tertentu memberikan wang tunai kepada mereka.

Malah Maszlee juga berkata beliau mempunyai pengalaman ditawarkan wang tunai sebagai dana politik namun ditolaknya.

“Apatah lagi jadi menteri, duit berjuta habis, maka timbul dana politik, waktu saya jadi menteri ramai orang berniaga jumpa (bawa duit kata) ini bukan rasuah, ini untuk karier politik, ada bawa dalam kantung duit, kita halau.

“Saya masuk politik bukan nak kuasa sebegini, ada benda kita nak perjuangkan, kita berjuang dengan idea, rakyat nak rakyat bersama kita.

“Kalau budaya politik naungan, masalah rasuah kita asasnya budaya naungan, bila dah menang dapat jawaran Adun, exco, ahli Parlimen jadi menteri, timbalan menteri kita nak duit balik, dah masuk modal nak kena ada untung,” kata Maszlee.

Disebabkan itu, ahli Parlimen Simpang Renggam yang baru menyertai PKR itu berkata pemimpin politik Melayu hilang rasa malu sekaligus menjurus kepada budaya korupsi.

“Sekarang orang tak malu kalau tak bekerja, ambil duit, curi duit, mengular, mereka tak malu jikalau mereka disogok untuk lakukan salah guna kuasa, salah beri tender untuk dapat kekayaan sekelip mata melalui cara bukan-bukan, tak rasa malu. 

“Curi duit tak rasa malu kemudian guna nama Tuhan, hilang rasa malu dia,” katanya.

Oleh itu Maszlee berkata budaya seperti itu harus dihentikan serta-merta dan pemimpin harus dinilai melalui bakat, idea dan visinya untuk rakyat dan negara bukan melalui kekayaan. 

“Pada saya kita perlu berani, mengakui budaya politik naungan perlu dihentikan kalau Melayu Muslim ingin berubah, budaya malu, takutkan Allah ubah budaya politik kita. 

“Lihat pemimpin dari segi penyampaiannya, pengorbanan, bagaimana visi dia, kadang-kadang bercakap tak reti sangat, visi tidak ada tapi kantung penuh maka diangat menjadi ketua cawangan, ketua bahagian, ahli Parlimen dan menteri. 

“Ceritalah ayat al-Quran dan hadis, kalau perkara ini tak diselesaikan ia akan terus kekal, itu politik, apa lagi orang kerajaan, kadang-kadang kita harapkan pagar pagar makan padi,” katanya.

Forum bertajuk “Korupsi dan Hipokrasi dalam Politik Melayu, Islam” malam tadi turut membariskan ahli Parlimen Kuala Selangor yang juga Pengarah Strategi Amanah Dr Dzulkefly Ahmad; Setiausaha Agung Barisan Nasional Zambry Abdul Kadir dan Presiden Muda yang juga ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai ahli panel.

Forum khas itu dimoderatorkan oleh Sayed Munawar Sayed Mustar. – 16 Disember, 2021.

Iklan
Iklan