Tiada larangan bawa telefon bimbit ke tempat undi, kata SPR
Iklan
TIADA peraturan yang menghalang pengundi dari membawa telefon bimbit mereka semasa berada di dalam bilik mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak esok, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini.
Kenyataan dibuat sebagai jawapan kepada pertanyaan The Malaysia Insight bahawa telefon bimbit menjadi alat penting dalam dakwaan pembelian undi.
Terdapat perbincangan hangat dalam media sosial mengenai dakwaan pengundi diminta mengambil gambar kertas undi mereka sebagai bukti fotografi undi mereka bagi menuntut “wang insentif”.
Seorang pengguna di platform WhatsApp mendakwa jumlah untuk “undi yang betul” adalah antara RM500 dan RM2,000.
Dia tidak menyatakan di mana tawaran itu dibuat atau sama ada pembelian undi itu berlaku di Sarawak.
Dia bagaimanapun mencadangkan SPR menguatkuasakan peraturan yang melarang pengundi membawa telefon mereka ke dalam bilik mengundi.
“Tidak (peraturan untuk menghalang mereka),” kata Ketua Komunikasi Korporat SPR Mohammad Azlan Charles Abdullah.
Beliau menambah suruhanjaya itu bagaimanapun mengetahui dakwaan berkenaan.
Seorang pegawai di unit undang-undang SPR yang tidak mahu namanya disiarkan berkata sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat mengenai rasuah atau pembelian undi perlu membuat laporan mengenainya.
Pegawai itu berkata pembelian undi adalah satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 tetapi SPR tidak mempunyai kuasa untuk menyiasat kesalahan tersebut.
Agensi yang mempunyai kuasa untuk menyiasat kesalahan dan mendakwa tertuduh ialah polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), katanya.
Kira-kira 1.2 juta rakyat Sarawak keluar mengundi esok untuk mengundi siapa yang akan mentadbir negeri itu dalam tempoh lima tahun akan datang.
Penyandang pemerintah Gabungan Parti Sarawak (GPS) diramalkan untuk kembali berkuasa. – 17 Disember, 2021.