Iklan

Kerjasama Warisan, Muda tak ancam Pakatan, kata Mat Sabu

Mohd Farhan Darwis3 years ago17th Dec 2021Berita
51668631732 33a77fa177 o
Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata Pakatan Harapan tidak melihat Warisan sebagai ancaman, malah akan pertimbang untuk bekerjasama dengan parti itu dalam Pilihan Raya Umum nanti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Disember, 2021.
Iklan

PAKATAN Harapan (PH) tidak melihat Warisan sebagai ancaman walau parti itu melebarkan sayapnya ke semenanjung dan bekerjasama dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), kata Mohamad Sabu.

Presiden Amanah Mohamad Sabu yang juga anggota Majlis Presiden PH berkata gabungan itu mempertimbangkan untuk bekerjasama dengan Warisan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Kita (lihat) tidak ada ancaman. Kita akan lihat perlu kerjasama atau tidak, kita akan bincang di peringkat PH. Saya tidak (melihat) ada ancaman atau apa.

“Kita akan berbincang di peringkat majlis presiden kalau ada permohonan, kita atas konsep khemah besar kita kena mencari sahabat yang ramai untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang,” kata Mohamad.

Tambahnya, pembangkang perlu mencari kekuatan baharu dan menstruktur semula parti mereka dengan mengambil iktibar ke atas keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bulan lalu.

“Apa yang berlaku di Melaka kita kena struktur semula terhadap pembangkang dan mesti cari jalan cari kekuatan baru. 

“Di Melaka BN tak tambah undi cuma berlaku sedikit perpecahan di kalangan pembangkang dan masalah pilihan raya yang tak pernah kita alami sebelum ini.

“Kekuatan pembangkang pada kempen ceramah, apabila itu tak dibolehkan kita agak tergamam,” kata Mohamad.

Keputusan PRN Melaka meyaksikan PH gagal menyerlah dengan PKR gagal memenangi sebarang kerusi daripada keseluruhan 11 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandinginya.

Gabungan PH dari DAP pula menang empat kerusi DUN manakala Amanah menang satu kerusi.

Ahli Parlimen Kota Raja yang lebih mesra dengan panggilan Mat Sabu itu ditemui pemberita selepas majlis pelancaran bukunya bertajuk Juang Mat Sabu di Shah Alam hari ini.

Terdahulu, Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal mengesahkan parti itu akan bekerjasama dengan Muda dalam usaha melebarkan sayap ke semenanjung.

Shafie yang melancarkan Warisan peringkat nasional juga akan mempertimbang kemungkinan bekerjasama dengan parti lain termasuk PH dan Pejuang untuk membentuk pakatan pembangkang. – 17 Disember, 2021.

Iklan
Iklan