Jentera Bersatu cuma seronok-seronok di Melaka, kata timbalan presiden
Iklan
BERSATU dan Perikatan Nasional (PN) gagal menyerlah dalam pilihan raya negeri Melaka kerana sikap menuding jari dan model politik lama yang masih diamalkan, kata Ahmad Faizal Azumu.
Dalam ucapan sewaktu merasmikan mesyuarat sayap parti, timbalan presiden Bersatu itu berkata, jentera pula tidak mampu menyumbang usaha dan bergerak sendiri untuk mendekati pengundi.
“Kita terlalu banyak salahkan sesama sendiri di Melaka, kita banyak menuding jari, tapi tidak lihat kepada sumbangan kita sendiri, kita kurang DIY (semangat usaha sendiri) dalam gerakan kita.
“Do It Yourself kurang, kita suka tengok orang buat kerja supaya mudah kita salahkan dia kalau benda tak jadi.
“Kita selalu seronok-seronok dengan kumpulan kita sendiri, pergi Melaka, kumpul sama sendiri, tapi tidak turun mendekati pengundi,” katanya.
Katanya, perkara itu dilihat diamalkan oleh ramai anggota dalam jentera parti.
Walhal, pada peringkat awal parti itu mampu menang pilihan raya itu disebabkan penerimaan positif rakyat terhadap Presiden Muhyiddin Yassin yang digelarnya Abah.
“Tidak semua, saya boleh kenal siapa yang betul-betul buat kerja, tapi masih ramai yang amal cara politik lama ini, engagement kita kurang.
“Saya ingin berterus terang, di peringkat awal, saya dan ramai rakan-rakan pimpinan dapat menghidu udara kemenangan, penerimaan rakyat dan pengundi kepada Abah.
“Saya sifatkan luar biasa. Kita dapat rasa ‘penerimaan positif’ rakyat,” kata Ahmad Faizal sewaktu merasmikan mesyuarat sayap Armada dan Srikandi Bersatu di Mitec, Kuala Lumpur pagi ini.
Keputusan pengundian 21 November menyaksikan parti itu hanya menang tipis di dua kerusi – Sungai Udang dan DUN Bemban daripada kesemua 28 kerusi yang ditandingi. – 18 Disember, 2021.