KDN umum status Muda pada Isnin, kata Hamzah
Iklan
KERAJAAN akan memutuskan sama ada akan merayu keputusan mahkamah yang membenarkan pendaftaran Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), kata Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin.
Katanya, kementeriannya akan mengumumkan keputusan itu pada Isnin sebelum tempoh 14 hari untuk membuat rayuan itu tamat.
Hamzah berkata, beliau sudah berbincang dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berhubung perkara itu.
“Tapi oleh kerana mahkamah dah putuskan untuk beri peluang dan katakan ia adalah hak semua, maka saya dah pun bincangkan perkara ini dengan presiden parti dan perdana menteri, akan saya umumkan Isnin nanti,” kata Hamzah kepada pemberita.
Hamzah yang juga setiausaha agung Bersatu ditemui selepas majlis perasmian mesyuarat agung sayap parti itu, Armada dan Srikandi Bersatu di Mitec, Kuala Lumpur pagi ini.
Mahkamah Tinggi pada 14 Disember lalu menetapkan tempoh sehingga akhir bulan untuk Kementerian Dalam Negeri meluluskan pendaftaran Muda sebagai sebuah parti politik.
Mahkamah turut memerintahkan menteri dalam negeri dan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) membayar kos RM10,000 kepada Muda.
Hakim Noorin Badaruddin membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman difailkan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang juga ahli Parlimen Muar bersama 12 individu.
Permohonan itu mencabar keputusan menteri dalam negeri dan RoS yang menolak rayuan mereka untuk mendaftar Muda sebagai sebuah parti politik.
Muda dipimpin bekas ketua sayap Armada Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Setiausaha agung Bersatu itu turut menjelaskan, beliau tidak meluluskan pendaftaran Muda sebelum ini adalah kerana jawatankuasa penaja parti itu terlibat melanggar undang-undang negara.
“Dalam Akta RoS, kita tak benarkan sesiapa jawatankuasa penaja, mana-mana orang nak tubuhkan parti baru, penaja ini kena kita berhati-hati untuk pastikan tidak langgar undang-undang dalam negara.
“Tapi masa nak luluskan tempoh hari, mereka telah lakukan pelbagai kesalahan seperti lakukan demontrasi dan dan buat perkara yang melanggar undang-undang negara.
“Maka sebab itu saya terpaksa tidak luluskan kerana daripada jawatankuasa penaja itu mereka yang melakukan kesalahan,” kata Hamzah.
Syed Saddiq dan 12 yang lain bagaimanapun pada 21 September memperoleh kebenaran mahkamah untuk memulakan semakan kehakiman tersebut bagi mencabar keputusan itu.
Mereka memohon suatu deklarasi bahawa permohonan mendaftarkan Muda sebagai sebuah parti politik adalah teratur dan telah mematuhi segala keperluan di bawah Akta Pertubuhan 1966.
Mereka juga memohon suatu perintah mandamus untuk kedua-dua responden mendaftarkan Muda sebagai sebuah pertubuhan dalam kategori pertubuhan politik dalam masa 14 hari dari tarikh perintah.
Muda kini bekerjasama dengan Warisan yang melebarkan sayap parti itu ke semenanjung. – 18 Disember, 2021.