Iklan

Warisan tak konsisten, dakwa Hamzah

Mohd Farhan Darwis3 years ago18th Dec 2021Berita
Muhyiddin yassin hamzah zainudin
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan setiausaha agung parti Hamzah Zainudin menghadiri majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan sayap Armada dan Srikandi Bersatu, di Mitec, Kuala Lumpur, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 18 Disember, 2021.
Iklan

TINDAKAN Warisan bertapak di semenanjung menunjukkan parti yang diasaskan di Sabah itu tidak konsisten dalam perjuangan mereka, dakwa Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin.

Ahli Parlimen Larut itu juga mendakwa langkah itu menunjukkan perjuangan Warisan hanya bersifat jangka pendek.

“Cuba kita lihat pada Shafie Apdal. Apabila dia menubuhkan Warisan, dia kata perjuangannya hanya khusus kepada Sabah. Hari ini dia pula yang nak masuk ke semenanjung.

“Ini bermakna Warisan merupakan satu parti yang tak konsisten dalam perjuangan dia.

“Begitu juga dengan mereka yang ada kebanyakannya parti yang hanya berjuang atas jangka masa pendek semata-mata,” kata Hamzah yang merujuk kepada presiden Warisan itu.

Kritikannya itu timbul selepas Warisan mengumumkan parti itu kini bertapak di semenanjung Malaysia semalam.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan sayap Armada dan Srikandi Bersatu, di Mitec, Kuala Lumpur, hari ini.

Situasi itu berbeza bagi Bersatu, yang kekal konsisten dengan perjuangan mereka dan menyaksikan pertambahan ahli walaupun baru berusia empat tahun, dakwanya.

Beliau juga melihat usaha Warisan menjadi parti nasional dan bekerjasama dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) tidak akan memberi kesan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Kesan dari segi landskap politik negara sudah tentu (akan ada impak)... Banyak pilihan yang boleh dibuat rakyat terutama pengundi dalam negara.

“Jadi saya tidak mahu mengambil sikap menekan sesiapa di sini sama ada pembangkang yang berpecah, PN atau BN… Ia strategi masing-masing untuk pastikan agenda yang baik untuk rakyat.”

Hamzah juga menganggap peluasan pengaruh Warisan menunjukkan amalan demokrasi di negara ini benar-benar bebas.

Pandangan sama disebut Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu yang memberi alasan, partinya turut berada di Sabah dan Sarawak.

Malah, ahli Parlimen Tambun itu melihat pemimpin politik harus lebih matang dan tidak mementingkan diri sendiri dalam berpolitik.

“Warisan masuk semenanjung, Bersatu ada di Sabah dan Sarawak, asalkan kita semua amalkan politik matang.

“Tak perlu bergaduh akibatkan kerunsingan kepada rakyat kita semua orang politik tak perlu terlalu pentingkan diri kita dan kumpulan kita semata-mata tetapi kepada mereka yang kita cuba wakili.

“Kalau Bersatu ingin mewakili rakyat pribumi ini yang perlu kita lakukan tanpa terlalu nak memusuhi sesama kita,” kata Ahmad Faizal.

Warisan semalam secara rasmi melebarkan sayap menjadi parti nasional dan mengesahkan mengadakan kerjasama dengan Muda bagi menghadapi PRU15. – 18 Disember, 2021.

Iklan
Iklan