Iklan

PPV mega tak akan bantu tingkat pengambilan dos penggalak, kata MMA

Hailey Chung Wee Kye3 years ago18th Dec 2021Berita
Vaccination centres bukit jalil ppv tmikamal 02
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia Dr Koh Kar Chai berkata penggunaan kapasiti di PPV swasta di seluruh negara pada kadar 60 peratus, jadi kerajaan perlu berusaha dapatkan lagi 40 peratus janji temu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Disember, 2021.
Iklan

PUSAT Pemberian Vaksin (PPV) mega tidak akan membantu tingkatkan kadar pengambilan suntikan penggalak vaksin Covid-19 berikutan kadar janji temu vaksinasi di PPV swasta menurun, kata Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) hari ini.

Presidennya Dr Koh Kar Chai berkata penggunaan kapasiti di PPV swasta di seluruh negara cuma 60 peratus, dan kerajaan perlu berusaha dapatkan lagi 40 peratus janji temu.

“Tiada gunanya buka kemudahan besar untuk beri penggalak apabila kadar janji temu menurun.

“Ia akan menjadi pembaziran dana dan sumber yang boleh digunakan dengan lebih baik untuk yang lebih memerlukan bantuan segera dalam sistem penjagaan kesihatan kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Khamis, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin melalui ciapan di Twitter bekata PPV mega akan dibuka semula tidak lama lagi di Lembah Klang.

“Dalam usaha untuk tingkatkan suntikan penggalak, PPV mega akan dibuka semula bermula dengan Lembah Klang.

“Semua penerima berusia 60 tahun dan ke atas atau Sinovac perlu dapatkan penggalak selewat-lewatnya pada Februari 2022 untuk mengekalkan status vaksinasi lengkapnya,” kata Khairy.

Ketika ini, Koh berkata secara purata lebih 130,000 dos penggalak diberi setiap hari oleh 2,459 PPV swasta yang berdaftar di bawah ProtectHealth, sebuah syarikat di bawah Kementerian Kesihatan.

“Jumlah suntikan penggalak yang diberikan setakat ini ialah 4.2 juta atau 18 peratus populasi.

“Program yang diselaraskan oleh ProtectHealth berjalan lancar. Bagaimanapun, ada kadar keciciran yang tinggi dalam pemberian suntikan penggalak,” kata Koh.

PPV swasta ini termasuk klinik pengamal am (GP) swasta, klinik pakar, hospital swasta, pusat jagaan ambulatori, PPV luar tapak/jangkauan dan pertubuhan bukan kerajaan.

“Terdapat keraguan dalam kalangan orang ramai untuk menerima vaksinasi heterolog, oleh itu, lebih banyak usaha diperlukan untuk meyakinkan orang ramai yang penggalak ini selamat.

“Daripada maklum balas yang kami terima, ramai yang tidak mahu menerima suntikan Pfizer selepas divaksin sepenuhnya dengan Sinovac.

“Apabila tiada pilihan diberikan, ramai yang akan memilih untuk tidak menerima suntikan penggalak,” katanya.

Justeru Koh meminta Kementerian Kesihatan menggalakkan pengamal perubatan swasta membuka PPV jangkauan yang lebih kecil dalam komuniti, bukannya PPV yang lebih besar.

“Pengamal perubatan swasta telah menyumbang kepada 48 peratus daripada jumlah vaksinasi di seluruh negara.

“Kami percaya pengambilan penggalak akan bertambah baik dalam beberapa minggu akan datang, tetapi orang ramai memerlukan sedikit keyakinan dan galakan.

“Salah satu cara terbaik untuk mencapai matlamat ini adalah melalui PPV GP yang kerap berhubung dengan pesakit mereka,” katanya.

Koh turut mengulas terdapat banyak kes kluster PPV mega sebelum ini.

“Dan kini dengan varian Omicron yang sangat mudah ditularkan, kita boleh melihat satu lagi penularan besar,” kata Koh.

Beliau berkata kos PPV mega juga mahal, memberitahu yang MMA dimaklumkan kerajaan perlu bayar lebih untuk utiliti dan ditubuhkan awal tahun ini apabila Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dilancarkan.

Penjawat awam, anggota tentera, polis trafik, Rela, sukarelawan, pekerja penjagaan kesihatan awam turut diambil kira dari seluruh negara untuk menguruskan orang ramai dan pendaftaran di PPV mega di seluruh negara.

“Pekerja penjagaan kesihatan awam kini sepatutnya berada di kemudahan penjagaan kesihatan awam yang mereka berkhidmat kerana terdapat kekurangan tenaga kerja di hampir semua kemudahan penjagaan kesihatan awam negara.

“Janji temu di hospital awam juga kini semakin meningkat kerana ramai yang sebelum ini tangguh suntikan mereka kerana sekatan atau takut dijangkiti Covid-19,” kata Koh. – 18 Disember, 2021.

Iklan
Iklan