Iklan

GPS menang di Sebuyau dan Belaga 

Desmond Davidson3 years ago18th Dec 2021Berita
Polling day sarawak 181221 tmiseth 02
Penduduk Sarawak keluar mengundi kerajaan negeri baharu hari ini.– Gambar The Malaysian Insight, 18 Disember, 2021.
Iklan

PAKATAN pemerintah Gabungan Parti Sarawak (GPS) diisytihar menang dua kerusi- Sebuyau dan Belaga- pada pilihan raya hari ini dan dalam laluan kembali berkuasa di negeri itu.

Julaihi Narawai mengekalkan kerusi majoriti Melayu, Sebuyau, dengan majoriti besar 4,134 dengan meraih 4,937 undi meninggalkan jauh pencabarnya, Maxwel Rojis (Amanah) yang hanya meraih 803 undi.

Calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) dalam pertandingan tiga penjuru di kerusi itu, Wan Chee Wan Mahjar pula hanya meraih 486 undi dan hilang deposit pilihan raya.

Keputusan kerusi dengan 9,367 pengundi itu diisytiharkan sejam setengah selepas pusat pengundian ditutup pada jam 5 petang tadi.

Julaihi, pembantu menteri pembangunan infrastruktur dan pelabuhan kini Adun Sebuyau selama enam penggal sejak menang kali pertama pada 1991.

Pada pilihan raya negeri 2016, beliau turut menang dalam pertandingan tiga penjuru dengan majoriti 2,742.

Di Belaga pula, Liwan Lagang (GPS) turut mengekalkan kerusi yang dipegangnya sejak tiga penggal lepas apabila meraih 2,245 majoriti dan menerima 5,032 undi.

Pada pertandingan empat penjuru itu, Henry Usat Bit (Parti Sarawak Bersatu PSB) meraih 1,307 undi, manakala dua lagi calon John Bampa (PBK) meraih 97 undi dan calon Bebas Siki Balarik hanya mendapat 81 undi. Kedua-dua mereka hilang deposit pilihan raya.

Keputusan tidak rasmi menunjukkan GPS menang di 21 daripada 82 kerusi, setakat 6.30 petang tadi.

Ramai penganalisis meramalkan kemenangan akan menjadi milik GPS yang diketuai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bertanding di 47 kerusi.

Rakan lain dalam GPS adalah Parti Rakyat Sarawak (11 kerusi), Parti Progresif Demokratik (6) dan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (18).

Parti lain yang bertanding pada PRN Sarawak kali ini adalah Parti Bumi Kenyalang (73), Parti Sarawak Bersatu (70), PKR (28), DAP (26), Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (15), Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (11), Amanah (8), Parti Sedar Rakyat Sarawak (5) dan PAS (1).

Seramai 30 orang calon Bebas turut bertanding.

Pada PRN 2016, PBB yang ketika itu menerajui Barisan Nasional Sarawak menang 72 kerusi, diikuti oleh DAP (7) dan PKR (3).

Sebelum itu pada 2011, PBB/BN menang 55 kerusi, diikuti oleh DAP (12), PKR (3) dan Bebas (1).  – 18 Disember, 2021.

Iklan
Iklan