Abang Johari menang besar di Gedong, ketua PKR kalah teruk di Beting Maro
Iklan
KETUA Menteri Abang Johari Openg menang besar di kerusi pendalaman, Gedong, dengan meraih 4,310 undi dengan majoriti 3,607.
Dalam pertandingan empat penjuru itu, calon lain ketinggalan jauh, berada di kedudukan kedua adalah Mohamad Sofian Fariz Sharbini daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang hanya meraih 703 undi.
Dua lagi calon hilang deposit pilihan raya. Tomson Ango daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK) mendapat 157 undi dan Cikgu Kamal (Amanah) pula hanya meraih 94 undi.
Abang Johari yang mewakili kerusi bandar, Satok di Kuching selama lapan penggal lalu, beralih ke kerusi Gedong bagi memberi laluan kepada orang kanannya, Ibrahim Baki bertanding di Satok.
Statistik menunjukkan presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu mendapat 5,264 atau 81.88% daripada keseluruhan undi.
Peratusan keluar mengundi pula adalah 73.05%.
Pemangku Pengerusi PKR Sarawak Abang Zulkifli Abang Engkeh pula kalah teruk dalam usahanya merampas kerusi Beting Maro.
Beliau bukan sahaja gagal menyingkirkan penyandang Razaili Gapor (GPS), malah turut hilang deposit pilihan raya.
Jacky Chiew Su Chee daripada Parti Bumi Kenyalang yang bertanding di kerusi majoriti Melayu itu turut hilang deposit apabila meraih hanya 74 undi.
Razali mendapat 3,769 undi untuk menang dengan majoriti 1,711 dalam kawasan yang mempunyai 11,094 pengundi itu.
Pencabar terdekatnya adalah calon PAS Arif Paijo yang menerima 2,058 undi.
Calon Bebas Safiudin Matsah pula hilang deposit apabila hanya meraih 636 undi.
Peratusan keluar mengundi adalah 65.82% atau 7,302 daripada 11,094 pengundi berdaftar.
Menurut SPR, pakatan pemerintah Gabungan Parti Sarawak sudah menang 18 kerusi dan Parti Sarawak Bersatu menang di dua kerusi setakat jam 7.05 malam tadi.
82 kerusi dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri Sarawak kali ini. – 18 Disember, 2021.