Iklan

Umno negeri lain juga mahu autonomi untuk kerjasama dengan PAS

Diyana Ibrahim3 years ago19th Dec 2021Berita
50274013778 5ac76669f3 o
Mengikut persetujuan MN sebelum ini kawasan yang PAS bertanding Umno tak bertanding begitu juga sebaliknya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Disember, 2021.
Iklan

PEMIMPIN akar umbi Umno menuntut PAS memuktamadkan jika mahu bersama dengan parti itu dalam Muafakat Nasional (MN) atau bersama Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mereka memberitahu The Malaysian Insight, keputusan itu akan membolehkan mereka meminta autonomi untuk bekerjasama dengan parti itu dalam PRU15 seperti digerakkan Umno Selangor.

Salah seorang daripadanya, Ketua Umno Pokok Sena Said Ali Syed Rastan yang percaya usaha seperti itu boleh diselesaikan jika PAS bersetuju untuk bertoleransi.

Bagaimanapun beliau maklum bahawa kerjasama dalam MN mungkin dilihat sukar dilaksanakan di beberapa negeri seperti Terengganu, Kedah dan Kelantan kerana isu pembahagian kerusi.

“Ia bergantung kepada keputusan PAS adakah mereka masih berpendirian hendak bersama dengan MN dan PN, atau dalam PRU15 ini mungkin nak kembali kepada Umno,” katanya.

Beliau berkata, soal pembahagian kerusi juga masih boleh dirundingkan dengan PAS kerana sudah wujud persetujuan awal sebelum ini.

“Kalau ikut persetujuan MN dulu ada kawasan yang PAS bertanding Umno tak bertanding dan ada yang Umno bertanding PAS tak bertanding. Kemudian ada kawasan terbuka yang terpulang kepada pucuk pimpinan.

“Biarpun kemungkinan ada pertembungan, tapi jika ada persetujuan isu itu boleh diselesaikan kerana Umno Kedah melalui MN sudah ada perbincangan dalam pembahagian kerusi bersama PAS. Jadi sebab itu kita kata terpulang kepada PAS,” katanya.

Beliau berharap sedemikian agar dapat bertindak seperti Umno Selangor yang memohon kepada parti induknya agar diberi autonomi bagi meneruskan kerjasama dengan PAS di negeri itu.

Pengerusi Umno Selangor Noh Omar minggu lalu berkata, usaha itu disebabkan hubungan kerjasama dengan PAS di negeri itu amat baik dan dilihat lebih berkesan.

PAS dan Umno membentuk kerjasama lebih awal melalui MN selepas pada September 2019, ekoran kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam PRU14.

PAS dan Umno kemudian menyertai kerajaan baharu ditunjangi parti Bersatu pimpinan Muhyiddin Yassin pada tahun lalu selepas pentadbiran Pakatan Harapan tumbang.

Umno juga terus menekan dan menolak kerjasama dengan Bersatu, yang membolehkan naib presidennya Ismail Sabri Yaakob dilantik menjadi perdana menteri kesembilan pada Ogos lalu.

Mengulas lanjut, pemimpin Umno Kedah juga menolak dakwaan PAS bahawa parti Melayu itu melanggar piagam MN dan tidak mahu mendukung penyatuan parti Melayu.

Said Ali berkata, Umno terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti termasuk Bersatu selepas PRU15.

“Kita masih terbuka dalam bab MN dan kita boleh bekerjasama dengan parti lain tapi selepas PRU15.

“Sebab kalau kita teruskan dalam PRU15 akan jadi masalah dalam pembahagian kerusi terutama dalam kerusi lompat.

“Sebab tak mungkinlah Umno parti terbesar ahli yang mencecah 3 juta nak membahagikan kerusi dengan parti yang ahlinya cuma beratus ribu saja,” katanya merujuk kepada Bersatu.

Ketua bahagian Umno Kluang Johor Md Jais Sardy pula menyerahkan kepada pemimpin PAS di peringkat negeri dan pemimpin tertingginya untuk memutuskan isu kerjasama dalam MN.

Namun katanya, Umno Johor setakat ini tidak pernah membuat sebarang keputusan muktamad untuk menolak PAS.

“Kerjasama MN negeri tidak seperti di Selangor sebab Umno dan PAS banyak bahagian parlimen bersama. Jadi hubungan itu agak rapat.

“Di Johor PAS negeri banyak ikut PAS pusat. Tapi Umno tidak pernah menidakkan PAS tidak seperti di Terengganu yang terang-terang tidak mahu kerjasama.

“Jadi kalau ikut pendapat peribadi saya ia terpulang kepada PAS Johor,” katanya.

Ditanya mengenai sentimen akar umbi mengenai kerjasama dengan PAS, beliau berkata, ahli Umno sebenarnya mahu BN bertanding secara solo.

Beliau berpendapat, hal ini kerana kerjasama yang berlaku setakat ini melibatkan Bersatu dan juga PAS tetap tidak berjaya mewujudkan pentadbiran kerajaan yang kukuh di negeri itu.

“Bagi saya orang nak Umno balik semula selepas apa berlaku sebelum ini sampai menteri besar bertukar dua kali di Johor.

“Jadi bila Umno memerintah menteri besar pentadbiran kerajaan lebih berjalan lancar,” katanya.

Penganalisis Prof Awang Azman Awang Pawi pula berkata, keputusan Umno Selangor hanya membuktikan sikap parti Melayu tersebut sebagai parti yang oportunis.

Ini memandangkan setiap langkah parti tersebut hanya dibuat demi kepentingan dan survival politik, kata pensyarah kanan Universiti Malaya itu.

Jelasnya, Umno sedar bahawa kerjasama dengan PAS sahaja yang akan membolehkan mereka menang di Selangor dalam PRU15.

“Umno apabila berada dalam kedudukan yang melihat kepentingan mereka jadi mereka akan minta kerjasama dengan PAS.

“Tanpa PAS, Umno sukar menang di Selangor. Biarpun Umno mempunyai jentera kuat tapi tak dapat nak melengkapi jika bersendirian.

“Hanya dengan kerjasama PAS, Umno boleh menang. Jadi keputusan itu dapatkan kemenangan kalau tidak sukar bagi Umno,” katanya.

Tambahnya lagi senario itu tidak berlaku di negeri lain kerana Umno merasakan mereka lebih kuat bergerak secara solo dan tanpa bergantung dengan PAS.

“Contoh di Pahang mereka rasa kuat dan kalau bekerjasama mereka kena serah kerusi kepada PAS sudah tentu keadaan itu sukar.

“Tapi kalau di Selangor disebabkan mereka ini oportunis Umno tidak kisah serah kerusi mereka asalkan menang lebih banyak,” katanya. – 19 Disember, 2021.

Iklan
Iklan