RM42 bilion hutang 1MDB tidak lesap, kata Najib
Iklan
PERDANA Menteri Najib Razak hari ini mempertahankan hutang RM42 bilion ditanggung 1Malaysia Development Bhd (1MDB), dengan mengatakan wang itu tidak pernah hilang, tidak seperti kerugian RM31 bilion dalam skandal pertukaran mata wang asing (forex).
Bercakap kepada 1,200 imam, ketua kampung, guru tahfiz dan pemimpin masyarakat yang menerima surat tawaran menunaikan haji, Najib berkata negara mengalami kerugian lebih banyak semasa skandal forex, jelas merupakan serangan terhadap Dr Mahathir Mohamad.
Ini adalah tahun kelapan program khas haji perdana menteri, yang mula diperkenalkan pada 2011.
Najib mengakui bulan lalu terdapat kesilapan dalam pengurusan 1MDB tetapi setakat ini, tiada siapa dikenakan sebarang tindakan terhadap jenayah bagi salah urus dalam dana kerajaan itu.
Beliau turut mengarahkan penyiasatan paling komprehensif dan terperinci dalam sejarah korporat Malaysia, yang melibatkan beberapa pihak berkuasa.
“Hilang duit, rugi besar itu kehilangan kerugian forex RM31 bilion. Itu lebih besar kerugiannya pada negara. Dalam zaman siapa? Dalam zaman orang yang kata kononnya haji 1MDB ini tak mabrur, Tuhan tak terima.
“Saya berterima kasih kepada Mufti Perak Harussani Zakaria yang membuat kenyataan ia kuasa mutlak Allah. Manusia tidak ada hak apatah lagi (ini) bukan ilmu dia (Dr Mahathir),” katanya hari ini sambil menambah perkara itu tidak boleh dipolitikkan.
Pada Disember 2016, Dr Mahathir dilaporkan berkata haji yang menggunakan wang 1MDB tidak mabrur.
Beliau berkata ia kerana dana itu didakwa dicuri oleh Najib.
Kenyataan pengerusi Pakatan Harapan (PH) menerima reaksi daripada beberapa muftis yang mengatakan ia adalah kuasa Allah untuk menentukan sama ada ibadah yang dilakukan oleh seseorang hamba akan diterima atau tidak.
Najib juga membayangkan tarikh pilihan raya akan diadakan sebelum jemaah pergi menunaikan haji pada Julai.
“Semat dalam hati kalau kerajaan kita masih kekal, insya-Allah tuan-tuan dapat tunai fardu haji dengan baik dan selesa,” katanya kepada 1,200 penerima.
Antara yang hadir pada majlis hari ini ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Jamil Khir Baharom, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Asyraf Wajdi Dusuki, Pengerusi 1MDB dan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan Mohd Irwan Serigar Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy. – 2 Februari, 2018.