PAS tetap dabik dada, PKR salahkan pilihan raya tidak adil
Iklan
WALAUPUN mengalami kekalahan, PAS tetap mendabik dada melihat prestasi calon tunggalnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang baru berakhir.
Calonnya Mohamad Arifiriazul Paijo muncul pesaing terdekat calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Razaili Gapor dalam pertandingan merebut kerusi majoriti Melayu, Beting Maro.
Arif, seperti yang lebih dikenali di kawasan pantai di bahagian Betong, meraih 2,058 daripada 7,302 undi tetapi itu tidak mencukupi untuk menyingkirkan Adun dua penggal GPS daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang memperoleh 3,769 undi untuk menang dengan majoriti 1,711 undi.
Walaupun kalah, PAS tetap optimis apabila Arif berjaya memperoleh lebih banyak undi berbanding pemangku Pengerusi PKR negeri Abang Zulkifli Abang Engkeh, yang selama ini dianggap sebagai pencabar terkuat Razali.
Abang Zulkifli hilang deposit dalam pertarungan lima penjuru dengan hanya memperoleh 765 undi.
Calon Bebas Safiudin Matsah dan Jacky Chiew Su Chee dari Parti Bumi Kenyalang (PBK) juga kehilangan deposit mereka.
Pemimpin PAS berkata, keputusan di Beting Maro menunjukkan PKR sudah “tidak relevan” dalam kancah politik Sarawak.
Selain itu, mereka kini mempunyai jentera pilihan raya yang tidak bergantung sepenuhnya kepada bantuan rakan sejawat mereka di semenanjung untuk bersaing dengan GPS.
PAS berkata, PKR mesti menerima hakikat ia tidak lagi diterima di Sarawak.
Ia berkata, PKR kehilangan kekuatannya dan jelas apabila calon paling kuat parti itu yang juga pengerusi parti di Sarawak boleh kehilangan depositnya.
“Ini adalah isyarat jelas PKR tidak lagi diterima di kawasan majoriti Melayu. Inilah sebab utama DAP tidak lagi melihat simbol Pakatan Harapan boleh digunakan kerana rakan komponennya sudah hilang kekuatan,” jelas parti itu.
PAS mempamerkan prestasi lebih buruk pada PRN Sarawak kali ini berbanding 2016 yang mana calon wanitanya Hamidah Mokhtar memperoleh 3,051 undi, tetapi parti itu berkata tidak seperti PKR, PAS masih relevan di Beting Maro.
PAS bertanding di 11 kerusi termasuk Beting Maro pada pilihan raya 2016. – 19 Disember, 2021.
Berita penuh di sini.