Iklan

Langkah naik gaji minimum atasi inflasi tidak produktif, kata pakar

Khoo Gek San3 years ago20th Dec 2021Berita
49967430676 a2649ebb6e c
Ketua Perunding Cukai dan Kewangan Asia Business Centre Chua Tia Guan mengingatkan bahawa kenaikan gaji akan meningkatkan kos perniagaan, dan seterusnya menjadikan harga lebih tinggi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Disember 2021.
Iklan

PAKAR memberi amaran langkah meningkatkan gaji minimum berikutan kenaikan inflasi hanya akan mendorong kenaikan harga barangan berikutan majikan akan melihat ia sebagai peningkatan kos operasi.

Mereka berkata pertumbuhan gaji akan mewujudkan kitaran ganas melainkan produktiviti buruh juga dipertingkatkan.

Lebih-lebih lagi, inflasi hanya sementara dan akan berubah apabila pandemik Covid-19 stabil, tambah mereka.

Ketua Perunding Cukai dan Kewangan Asia Business Centre Chua Tia Guan berkata beliau terkejut dengan gesaan pelbagai pihak supaya gaji minimum dinaikkan supaya pekerja dapat berdepan dan bertahan dengan kenaikan harga.

Chua mengingatkan mereka yang kenaikan gaji akan meningkatkan kos perniagaan, dan seterusnya menjadikan harga lebih tinggi.

Beliau berkata idea itu tidak produktif kerana syarikat secara umumnya perlu meningkatkan keuntungan untuk membayar kenaikan gaji.

“Gaji lebih tinggi akan merangsang lebih banyak pertumbuhan perbelanjaan, yang akan mengetatkan kapasiti pengeluaran dan meningkatkan kos korporat.

“Syarikat terpaksa menaikkan harga produk apabila pekerja meminta gaji lebih besar bagi mengimbangi kenaikan kos sara hidup.

“Kenaikan gaji tidak dapat mengimbangi inflasi,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau juga meragui bahawa pekerja yang menerima pendapatan tambahan akan menggunakannya untuk membeli-belah.

“Pekerja tidak akan menggunakan kerana kenaikan harga. Dalam erti kata lain, ia akhirnya akan berkembang menjadi kenaikan gaji dan dimakan oleh inflasi,” kata Chua.

Beliau menegaskan bahawa inflasi semasa adalah disebabkan gangguan dalam rantaian bekalan yang disebabkan pandemik itu, dan ia mungkin tidak bertahan lama.

Beliau meramalkan sebaik sahaja wabak reda dan rantaian bekalan kembali normal, keadaan inflasi mungkin berubah.

Beliau percaya kadar inflasi semasa di negara ini adalah sekitar 2%, dengan kebanyakan harga kekal sama kecuali makanan dimasak, pengangkutan dan bahan api.

Chua berkata majikan sepatutnya menaikkan gaji hanya dikaitkan dengan produktiviti syarikat.

Kenaikan gaji akan memburukkan lagi inflasi dan syarikat harus memberi tumpuan untuk meningkatkan kecekapan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Disember 2021.

Menjadi cekap

Pengerusi jawatankuasa Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM) Koong Lin Loong mengulangi kepercayaan Chua bahawa inflasi disebabkan jurang bekalan sementara.

Koong menambah, terdapat juga kesukaran untuk mengambil pekerja semasa wabak ini.

Beliau juga berkata kenaikan gaji akan memburukkan lagi inflasi dan syarikat harus memberi tumpuan untuk meningkatkan kecekapan.

“Apabila pekerja cekap, keuntungan kasar syarikat secara semula jadi akan meningkat,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Banyak syarikat menghadapi kekurangan rizab akibat wabak ini, dan bukan mudah untuk mendapatkan kelulusan pinjaman daripada bank.”

Beliau berkata apabila kerajaan menggalakkan perusahaan meningkatkan perniagaan mereka kepada automasi dan pendigitalan, sejumlah besar modal diperlukan untuk pelaburan awal.

Koong berkata, tetapi hanya dengan menyelaraskan dengan persekitaran perniagaan yang menguntungkan kerajaan boleh meningkatkan produktiviti serta mencapai keuntungan.

“Kami menyeru kerajaan agar tidak mengenakan lesen sesuka hati, atau mengharamkan perniagaan dari rumah ke rumah, menyukarkan syarikat untuk menyelenggara,” katanya.

Baru-baru ini banyak pihak termasuk ahli Parlimen menggesa kerajaan menaikkan gaji minimum kepada RM1,500 supaya pekerja dapat menampung kos sara hidup yang semakin meningkat.

Menteri Sumber Manusia M. Saravanan berkata kerajaan prihatin dengan kesan kenaikan gaji minimum kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS).

Katanya, ia perlu dilakukan secara berperingkat supaya tiada tekanan dan bebanan kepada majikan sehingga menjejaskan operasi syarikat dan menyebabkan pekerja berdepan pengangguran.

Menarik pelabur

Chua dan Koong percaya tidak sesuai untuk menaikkan gaji minimum semasa wabak.

Chua mengulangi yang kenaikan gaji mestilah berorientasikan produktiviti, atau ia akan memburukkan lagi inflasi semasa tempoh pemulihan ekonomi.

Koong mahu kerajaan mewujudkan persekitaran perniagaan yang membolehkan lebih banyak syarikat asing melabur di Malaysia.

“Ini supaya apabila ekonomi berubah, kos akan berkurangan dan harga turun,” katanya.

Presiden Persatuan PKS Malaysia Ding Hong Sing berkata gaji tempatan sudah melebihi RM1,500, dan purata antara RM2,000 hingga RM3,000.

Beliau juga berkata banyak PKS memperkenalkan insentif untuk menggalakkan penduduk tempatan bekerja keras, sekali gus meningkatkan produktiviti perusahaan.

“Jika pekerja datang bekerja setiap hari, mereka boleh mendapat ganjaran tambahan RM200,” katanya kepada The Malaysian Insight, sambil bersetuju yang kenaikan gaji minimum adalah tidak produktif. – 20 Disember, 2021.

Iklan
Iklan