Iklan

GPS menang besar beri Sarawak lebih kuasa pengaruhi politik negara

Desmond Davidson3 years ago22nd Dec 2021Berita
49935162007 9ee8edf7f7 b (4)
Kemenangan besar Gabungan Parti Sarawak menandakan sokongan terhadap gabungan itu untuk meneruskan agenda identiti Sarawak dan autonomi sepenuhnya walaupun Putrajaya was-was. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Disember, 2021.
Iklan

KEMENANGAN besar Gabungan Parti Sarawak GPS) dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabtu lepas akan membentuk semula politik negara dan memaksa Putrajaya lebih serius dalam soal hubungan persekutuan-negeri, menurut penganalisis politik.

Dalam PRN ke-12 Sarawak, GPS memenangi 76 daripada 82 kerusi DUN.

Menurut James Chin, pakar politik Asia Universiti Tasmania kelahiran Sarawak, kemenangan besar itu merupakan referendum usaha berterusan gabungan empat parti itu untuk mewujudkan negeri dalam negeri.

Kemenangan itu telah memberikan GPS kelulusan untuk menutup semua elemen budaya politik Melayu semenanjung dan memupuk identiti Sarawak yang kukuh serta nasionalisme negerinya, katanya, merujuk kepada tag line GPS “Sarawak First”.

“Kemenangan besar itu menandakan sokongan terhadap GPS untuk meneruskan agenda identiti Sarawak dan autonomi sepenuhnya walaupun Putrajaya was-was.

“Ini melibatkan pendorongan untuk menyahpusat secara menyeluruh dan memberikan Sarawak autonomi maksimum, seperti yang dibayangkan oleh penggubal Perjanjian Malaysia 1963.”

Chin berkata ia akan jadi permulaan kepada “eksperimen menarik” bagaimana kerajaan yang terlalu terpusat mungkin berpotensi berubah jadi lebih baik dengan mengasingkan dan membenarkan negeri-negeri mendapat autonomi yang tinggi.

Keputusan PRN Sarawak telah menghantar mesej jelas kepada Putrajaya yang pendekatan GPS tidak berkonfrontasi terhadap rasa tidak senang dengan hubungan persekutuan-negeri, adalah jalan yang boleh diterima oleh kebanyakan rakyat Sarawak, katanya.

Tambah Cin, ini berbeza dengan Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan Aspirasi Rakyat Sarawak Parti (Aspirasi) yang memperjuangkan kemerdekaan secara terang-terangan. 

“Kebanyakan rakyat Sarawak masih belum sanggup menumpahkan darah untuk kemerdekaan. Mereka jelas mahu tentukan nasib sendiri tetapi sanggup berkongsi dengan Putrajaya buat masa ini.”

Pengarah Eksekutif Merdeka Center Ibrahim Suffian bersetuju, berkata PRN Sarawak penting bagi politik negara.

Gabungan utama dalam politik negara, Barisan Nasional (BN) yang diketuai Umno dan Perikatan Nasional (PN), serta kerajaan pusat yang lemah memerhati rapat prestasi GPS dalam PRN, katanya sebelum ini.

Beliau berkata lebih banyak kerusi dimenangi GPS, lebih banyak mereka kerusi boleh tuntut di masa hadapan.

“Mereka bukan lagi deposit tetap. Mereka kini penentu. Mereka boleh naik atau jatuhkan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata kemenangan besar itu telah membuatkan Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg mempunyai suara dalam menentukan hala tuju masa negerinya yakni autonomi yang dicarinya dan juga mempengaruhi sesiapa memegang Putrajaya.

Bagaimanapun, pakar politik Universiti Malaysia Sabah Lee Kuok Tiung memberi amaran supaya tidak terlalu banyak membaca daripada keputusan PRN.

Lee berkata kemenangan dalam PRN itu mungkin juga tidak memberi makna kepada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Beliau menunjukkan kecenderungan orang Cina Sarawak mengundi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), komponen gabungan kerajaan untuk DUN dan memilih DAP dan pembangkang untuk Parlimen. – 22 Disember, 2021.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan