Sedia hadapi luruan monsun, kata Nadma
Iklan
AGENSI Pengurusan Bencana Negara (Nadma) mengingatkan pasukan penyelamat dan petugas bantuan bersiap sedia berhadapan luruan monsun yang dijangka bermula minggu hadapan.
Ketua Pengarah Nadma Aminuddin Hassim berkata, pasukan itu harus menyelaras agensi masing-masing dan bersedia agar pengurusan banjir dan bencana dapat dilakukan dengan lebih baik.
“Dengan data dikongsi ini saya ingin mohon rakan kita daripada petugas bantuan untuk sama-sama menyusun pasukan masing-masing, bersedia agar insiden banjir dapat kita kawal dengan yang sebaik mungkin.
“Apa-apa maklumat boleh terus salur kepada Nadma supaya koordinasi dapat kita lakukan daripada Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC),” katanya dalam satu sidang media di Shah Alam.
Peringatan itu susulan amaran ribut petir dan hujan lebat yang dijangka melanda Pekan dan Rompin di Pahang, Klang dan Kuala Langat di Selangor serta Kota Tinggi di Johor.
Jabatan Meteorologi (Met Malaysia) dalam amaran jam 1 petang itu turut meramalkan ribut petir di pantai barat semenanjung, Sarawak barat dan Sabah timur.
Mengulas amaran itu, Aminuddin berkat ribut petir dijangka berlaku di pantai timur semenanjung pada lewat petang hingga malam.
“Terdapat tanda-tanda awal luruan monsun bermula 27 Disember, Isnin, nanti berpotensi menyebabkan hujan yang berterusan di Sarawak barat dan Sabah timur,” kata Aminuddin lagi.
Selain itu, Nadma juga diarahkan mempercepatkan penyaluran wang ihsan bantuan banjir RM1,000 kepada mamgsa banjir, katanya.
Menurutnya, kerajaan bersetuju memberikan bantuan RM5,000 untuk pengurusan kematian kepada waris mangsa banjir yang meninggal dunia.
“Kita akan percepatkan penyaluran peruntukan kepada kerajaan negeri selaku jawatankuasa pengurusan bencana negeri dengan penyaluran dipercepatkan mulai esok,” katanya lagi.
Aminuddin merupakan antara pegawai tinggi kerajaan yang tampil dalam siri sidang media hari ini ekoran kritikan bahawa agensi keselamatan lambat bertindak menyelamat dan memberi bantuan.
Pasukan keselamatan dan pemimpin kerajaan itu dikritik hebat kerana ramai mangsa terpaksa menunggu berhari-hari lamanya sebelum diselamatkan.
Ia ekoran hujan ekstrem yang membawa kepada banjir buruk yang menjejaskan banyak negeri di semenanjung sejak hujung minggu lalu dan mengorbankan sekurang-kurangnya 37 jiwa.
Turut muncul hari ini Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Mohammad Hamdan Wahid, Panglima Angkatan Tentera Affendi Buang dan Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani.
Kelemahan tersebut turut diakui Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob. – 23 Disember, 2021.