Warga Terengganu, Kelantan balas budi bantu mangsa banjir
Iklan
BANJIR teruk melanda Selangor dan Pahang mendapat simpati dari warga Terengganu dan Kelantan yang tidak ketinggalan menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir.
Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan individu memberitahu The Malaysian Insight, mereka melancarkan kutipan derma dan menghantar sukarelawan serta bekalan ke kawasan terjejas.
Biarpun sukar disebabkan laluan yang ditutup namun ia bukan penghalang kerana inilah masanya untuk membalas budi menolong mangsa banjir di Pantai Timur sebelum ini, kata mereka.
Wan Mohd Farizan Wan Ahmad, 36, dari Hulu Terengganu berkata, beliau menggerakkan misi solo bantuan kemanusiaannya selepas melihat begitu ramai yang terjejas kerana banjir di Selangor.
Wan Farizan yang bekerja sendiri berkata, beliau nekad untuk tampil membantu dengan kenderaan pacuan empat rodanya selepas melihat begitu banyak rayuan di media sosial.
“Saya fikir alangkah baiknya saya dapat dibantu oleh semua rakyat Malaysia lain. Dan saya fikir inilah masanya untuk balas budi mereka (membantu) apabila berlaku banjir di Pantai Timur.
“Jadi sebelum pergi ke Selangor saya muat naik status di Facebook menguar-uarkan untuk membawa amanah bantuan penderma budiman.
“Alhamdullilah tidak sampai dua tiga minit saya dihubungi banyak pihak untuk menghulurkan bantuan,” katanya.
Katanya, beliau tiba di Selangor pada malam Isnin selepas menempuh perjalanan selama sembilan jam ekoran banyak laluan yang ditutup.
“Seawal pagi saya sampai pada Selasa, saya terus ke Taman Sri Muda untuk hantar bantuan kepada penduduk terjejas,” katanya.
Beliau berjaya masuk ke kawasan krititikal itu untuk mengagihkan bantuan makanan, lampin bayi, tuala wanita, air, roti dan biskut.
“Lepas itu saya terus ke Klang beli barang bantuan dan saya agihkan di kawasan terjejas di sekitar Pelabuhan Klang.
“Kemudian terakhir saya agihkan bantuan dan barang dapur di pusat pemindahan,” katanya.
Kawasan Taman Sri Muda antara lokasi paling teruk terjejas kerana sukar diakses menyebabkan mangsa terperangkap dan terputus bekalan beberapa hari sebelum dapat diselamatkan.
Seramai 14 orang didapati maut dalam tragedi menimpa daerah Shah Alam itu.
Di saat genting itu, jumlah mangsa meningkat kepada lebih 26,000 orang daripada lebih 7,000 keluarga dengan 134 pusat pemindahan dibuka di Selangor.
Satu lagi NGO komuniti, Persatuan Pembangunan Kebajikan Rakyat Mukim Kandis di Bachok, Kelantan turut melancarkan kutipan derma dan menggerakkan bantuan ke Selangor.
Setiausaha NGO itu, Alamin berkata, pertubuhan itu menggerakkan bantuan sejak Sabtu dengan melancarkan kutipan derma dan memanggil sukarelawan untuk mengagihkan bantuan.
“Tapi disebabkan kita jauh, dan masalah juga dengan banyak laluan yang ditutup jadi kalau dari Kelantan nak turun agak sukar.
“Jadi kebanyakan sukarelawan kami yang ada di sana dan kita memberi wang derma orang ramai untuk sukarelawan kita di sana dan beli barang,” katanya.
Alamin berkata, NGO itu turut bekerjasama dengan pihak lain seperti komuniti di Alam Impian dan Masjid Alam Impian bagi memudahkan sumbangan dapat diagihkan.
“Sukarelawan kita Khairunnisa Zainal yang menguruskan segala-galanya di sana, kita mula memang tumpu kepada Sri Muda.
“Namun kemudian kita alihkan ke kawasan lain juga disebabkan Sri Muda sekarang dah banyak bantuan diberi sampai melebihi.
“Jadi kita cuba beralih ke tempat lain seperti di Banting yang turut terjejas kerana banjir,” katanya.
Menteri Besar Amirudin Shari mengumumkan semalam, banjir di Sri Muda surut sepenuhnya pada awal pagi dan proses pembersihan akan dimulakan.
Bagaimanapun setakat tengah hari semalam, lebih 21,800 orang masih ditempatkan di 125 pusat pemindahan di lapan daerah terjejas di Selangor, katanya.
Bagi NGO Fisabilillah di Terengganu, mereka menggerakkan misi bantuan bencana banjir di Pahang memandangkan negeri itu juga terjejas teruk kerana banjir.
Setiausaha Fisabilillah Siti Farhana Md Yasin berkata, pihaknya melancarkan kutipan derma di media sosial untuk barang bantuan dapat diagihkan kepada mangsa banjir di negeri itu.
“Kami tidak turun di Selangor dan fokus di Kuantan dulu kerana daerah itu lagi memerlukan bantuan dan lebih dekat dengan kami.
“Semalam kami lancarkan poster mini banjir dan alhamdulllah sumbangan diterima agak baik. Seramai 10 orang ahli Fisabilillah akan ke sana Jumaat ini untuk agihkan bantuan,” katanya.
Bantuan itu termasuk kit penjagaan diri, selimut, lampin pakai buang untuk bayi dan warga emas, susu bayi, telekung sembahyang dan makanan kering, katanya.
Paras air di tujuh sungai di Pahang masih di tahap bahaya iaitu Sungai Pahang, Sungai Semantan, Sungai Jelai, Sungai Triang, Sungai Rompin, Sungai Kuantan dan Sungai Selat.
Setakat semalam, empat daerah di Pahang juga menunjukkan peningkatan kes banjir iaitu Bera, Maran, Temerloh dan Mentakab. – 25 Disember, 2021.