Iklan

Kerajaan digesa pecat pegawai kanan SKMM cuba tutup mulut rakyat Malaysia

Raevathi Supramaniam3 years ago25th Dec 2021Berita
Banjior
Musibah banjir yang melanda berapa negeri mencetuskan kritikan terhadap kerajaan yang didakwa lambat bertindak.– Gambar The Malaysian Insight olkeh Seth Akmal, 25 Disember, 2021.
Iklan

PENGERUSI dan pegawai eksekutif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu dipecat serta-merta kerana cuba menapis rakyat Malaysia di media sosial, kata majlis presiden Pakatan Harapan hari ini.

Menurutnya percubaan agensi itu untuk mutup mulut rakyat Malaysia menyuarakan tentang kegagalan kerajaan dalam mengendalikan banjir amat mengecewakan dan anti-demokratik.

“Oleh itu kami menggesa agar Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif SKMM digugurkan segera,” katanya dalam satu kenyataan.

“Dalam era 5G yang bakal tiba, Kerajaan dan badan-badan seperti SKMM perlu faham bahawa demokrasi dan suara rakyat perlu dihormati dan dirai, dan tidak patut sekali-kali digugat atau diugut seperti yang berlaku sekarang.”

Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek adalah pengerusi SKMM sekarang.

Semalam, SKMM mengakui telah melaporkan penggunaan hashtag yang menyinggung perasaan kepada Twitter untuk menegakkan undang-undang Malaysia.

Pengawal selia internet berkata walaupun ia menghormati pengguna Twitter, ia mempunyai tanggungjawab untuk memastikan pematuhan undang-undang.

Pengguna Twitter mendakwa SKMM cuba meminta Twitter untuk mengeluarkan tweet mereka yang mengkritik pengendalian kerajaan terhadap banjir.

Bagaimanapun, Twitter tidak mengambil sebarang tindakan terhadap tweet tersebut walaupun permintaan pengawal selia.

Majlis itu berkata, tindakan SKMM juga mengimbau kembali zaman ketika Malaysia ditadbir secara diktator dan ia tidak boleh kembali seperti itu.

“Yang paling kami kesali adalah bagaimana SKMM diperalat pemerintah untuk menutup mulut rakyat, terutama apabila rakyat sedang tenat dan sengsara akibat banjir.

“Kerajaan dan SKMM khususnya perlu diingatkan bahawa rakyat berhak bersuara terutama dalam isu yang paling menekan, sama ada isu kos sara hidup, bencana, mahupun kepincangan kepimpinan di Putrajaya.”

Hujan lebat berterusan sejak Isnin hingga Ahad menyebabkan sebahagian besar kawasan di Lembah Klang dilanda banjir. Banjir turut melanda beberapa kawasan di Perak, Pahang, Kelantan, Terengganu, Melaka dan Negeri Sembilan.

Angka kematian akibat banjir setakat ini adalah 41 orang, manakala 52,095 mangsa dipindahkan ke 363 pusat pemindahan sementara di seluruh negara.

Kerajaan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dikritik kerana lambat bertindak dalam membantu mangsa banjir. Usaha menyelamat dan pembersihan sedang berjalan.– 25 Disember, 2021.

Iklan
Iklan