Iklan

Kerajaan Pahang, syarikat balak perlu bayar pampasan mangsa banjir, kata Anwar

Raevathi Supramaniam3 years ago26th Dec 2021Berita
W 57368892
Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menggesa syarikat perkayuan untuk bertanggungjawab terhadap apa yang mereka lakukan sehingga menyebabkan banjir. – Gambar EPA, 26 Disember 2021.
Iklan

KERAJAAN Pahang perlu mengambil langkah proaktif untuk membantu penduduk di negeri itu yang terjejas teruk akibat banjir, kata Anwar Ibrahim hari ini.

Ketua pembangkang itu juga menyeru syarikat perkayuan untuk bertanggungjawab terhadap peranan yang mereka lakukan dalam banjir.

“Walaupun Pahang sudah biasa dengan banjir, kerajaan negeri perlu proaktif dalam mengurangkan beban mereka yang terjejas akibat banjir,” katanya selepas melawat Ketari, di Bentong, Pahang.

“Kita juga melihat kesan pembalakan tidak terkawal di negeri ini. Selain kerajaan negeri, syarikat perkayuan yang beroperasi di Pahang yang mengaut keuntungan daripada pembalakan mesti memberi bantuan kepada mereka yang terjejas.

“Mereka juga bertanggungjawab atas apa yang telah berlaku.”

Awal hari ini, Adun Sabai Kamache Doray Rajoo memberitahu The Malaysian Insight bahawa pembersihan pasca banjir di Karak mengalami kesukaran berikutan terdapat timbunan balak di sungai dan jalan raya.

Beliau berkata kerajaan negeri dan persekutuan berhutang penjelasan kepada rakyat tentang asal-usul kayu balak.

Sementara itu, Anwar yang juga presiden PKR menasihatkan sukarelawan yang membantu di Sri Muda dan kawasan lain di Lembah Klang supaya mengelak daripada menyebabkan kesesakan keluar masuk kawasan itu.

“Di Selangor, lawatan saya ke beberapa kawasan seperti Sri Muda, jumlah sukarelawan yang ramai menyebabkan kesesakan keluar masuk kawasan itu.

“Kita tidak boleh menghalang individu yang ingin membantu, tetapi apabila berlaku kesesakan, ia menghalang pihak berkuasa tempatan untuk mengutip sampah.”

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata dalam lawatannya ke kawasan tersebut, penduduk menyampaikan mereka sudah tidak tahan lagi dengan bau busuk sampah.

“Orang yang tinggal di sana terdesak. Mereka tidak tahan lagi dengan bau sampah dan mereka juga bimbang ia boleh membawa kepada penyakit.”

Hujan lebat hujung minggu lalu menyebabkan banjir besar di beberapa negeri termasuk Pahang, Kelantan, Negeri Sembilan dan Melaka.

Air dilaporkan mencecah paras bumbung menyebabkan ramai yang terkandas.

Pentadbiran Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dikritik hebat kerana lambat bertindak balas terhadap krisis ini. – 26 Disember, 2021.

Iklan
Iklan