Iklan

Gangguan bekalan elektrik, air jejas usaha pembersihan bandar di Pahang

Raevathi Supramaniam3 years ago27th Dec 2021Berita
Timbunan kayu
Timbunan kayu memenuhi Sungai Karak dan jalan utama di bandar itu. Ini sekali gus menyukarkan kerja-kerja pembersihan. – Gambar The Malaysian Insight, 27 Disember 2021.
Iklan

PENDUDUK terjejas akibat banjir di Mentakab dan Karak, Pahang mengalami kesukaran membersihkan kediaman mereka berikutan bekalan air dan elektrik masih belum dipulihkan sepenuhnya.

Sukarelawan yang bekerja di kawasan ini berkata banyak usaha dan agensi kerajaan memberi tumpuan kepada Lembah Klang sehingga menjejaskan penduduk di dua bandar di negeri itu.

Sampah juga semakin bertimbun sejak Sabtu lalu, menyebabkan ramai bimbang penyakit akan merebak dalam kalangan mangsa banjir yang terpaksa berhadapan dengan penyakit bawaan air.

Adun Sabai, Kamache Doray Rajoo berkata di Karak, hampir tiada usaha oleh kerajaan negeri atau persekutuan untuk membantu dalam pembersihan pascabanjir.

“Tiada apa-apa, kami faham ini adalah bencana alam, tetapi selepas bencana itu terdapat banyak perkara yang boleh kerajaan lakukan tetapi hingga kini kami masih tidak mempunyai bekalan air,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Sampah tidak dikutip sejak 19 Disember lalu. Baunya semakin busuk dan kami bimbang kanak-kanak dan orang tua akan dijangkiti penyakit bawaan air.”

Katanya, air di kawasan itu juga terputus sejak Sabtu lalu.

“Kita ada sukarelawan, tetapi mereka hanya boleh datang apabila ada air. Sekurang-kurangnya, kita memerlukan bantuan daripada kerajaan untuk membantu rakyat. Kita perlu menggunakan air mineral untuk segala-galanya.”

Kamache berkata pihak berkuasa telah memberi tumpuan kepada Bentong, sebuah lagi bandar yang turut terjejas akibat banjir.

“Mereka sibuk di Bentong. Setiap hari anda boleh lihat perkara yang berlaku di Bentong. Sebabnya ada bekalan air di sana supaya senang untuk bekerja di sana.”

Menyukarkan lagi usaha pembersihan adalah kerana terdapat timbunan kayu di seluruh bandar.

“Dari mana datangnya kayu itu? Ia memenuhi sungai. Kerajaan negeri bertanggungjawab kepada orang ramai. Kerajaan harus menjawab dari mana datangnya kayu itu,” katanya.

Selain Lembah Klang, negeri lain seperti Pahang, Kelantan, Negeri Sembilan dan Melaka terjejas akibat hujan lebat hujung minggu lalu.

Di kawasan seperti Karak, Hulu Langat dan Sri Muda, paras air mencecah hingga ke bumbung menyebabkan ramai yang terkandas berhari-hari tanpa makanan, air dan tempat tinggal.

Pentadbiran Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menerima kritikan hebat daripada orang ramai kerana lambat bertindak susulan banjir yang telah meragut 41 nyawa dan menyebabkan ribuan lagi hilang tempat tinggal.

Masyarakat awam dan individu menyahut seruan membantu mangsa dengan menggerakkan usaha menyelamat dan menyalurkan keperluan asas.

Jaya, seorang sukarelawan yang turut menghulurkan bantuan di Karak berkata apabila paras air mula meningkat, ia hampir seperti tsunami.

“Ini kali pertama Karak dinaiki air. Tiada seorang pun daripada kami bersedia untuk ini,” katanya.

Dianggarkan 3,200 penduduk di Karak terjejas akibat banjir manakala 2,000 rumah rosak, tambahnya.

Walaupun kerajaan mengumumkan bantuan tunai RM1,000 kepada mangsa banjir, Segar berkata ia tidak mencukupi untuk membantu mereka yang kehilangan segala-galanya dalam banjir.

“Rumah musnah dan penduduk perlu berpindah ke rumah baharu. Bagi golongan pertengahan dan kaya ia tidak mengapa, tetapi bagi orang miskin ia sukar. Mereka telah pun terjejas teruk oleh Covid-19,” katanya. – 27 Disember, 2021.

Iklan
Iklan