Iklan

Rakyat manfaatkan media sosial tolong mangsa banjir

Raevathi Supramaniam3 years ago27th Dec 2021Berita
Hulu langat flood tmikamal 07
Ketika musibah melanda negara, rakyat Malaysia dengan pantas mengatur gerak kerja membantu mangsa banjir melalui media sosial terutamanya di Twitter. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Disember, 2021.
Iklan

SEPULUH hari lalu ketika rakyat Malaysia dikejutkan dengan banjir di Lembah Klang, pengguna media sosial dengan segera mula berhimpun di Twitter bagi menawarkan bantuan kepada mangsa.

Menggunakan #daruratbanjir, pengguna Twitter berjaya mengerahkan ratusan sukarelawan untuk misi menyelamat, malah lebih pantas berbanding agensi kerajaan.

Kumpulan-kumpulan ini menggunakan platform tersebut untuk mengumpul dana bagi membantu mangsa banjir yang kehilangan semua harta benda mereka.

Parti politik Muda antara kumpulan yang menggunakan Twitter untuk menyeru rakyat bertindak.

Ketua Penerangan Muda Zaidel Baharuddin memuji pemimpin kumpulan yang bijak teknologi dan juga kehadiran besar warganet atas kejayaannya.

“Memandangkan parti kami ditubuhkan waktu pandemik, kami sangat bergantung pada platform digital. Daripada menjalankan mesyuarat melalui sidang video hinggalah menggunakan alatan dalam talian untuk atur kumpulan dari jauh, kami sudah biasa dengan kerja dalam talian sebab ia menjimatkan dan pantas dalam mengatur pergerakan kami dari jauh,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Ramai ahli kami ada dalam talian yang menguatkan lagi seruan untuk bertindak dengan cepat malah kepada khalayak yang lebih besar.”

Parti politik Muda antara kumpulan yang pantas mengumpul dana dan cepat turun ke lokasi membantu mangsa banjir di negeri-negeri yang terjejas. – Gambar Twitter, 27 Disember, 2021.

Pengasas Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman antara ratusan sukarelawan yang turun ke lokasi bagi membantu mangsa banjir.

Melalui media sosial, Syed Saddiq dan Muda berjaya mengumpul lebih RM1 juta untuk usaha bantuan banjir di Lembah Klang. Ia juga telah mengumpul lebih RM800,000 untuk mangsa di Pahang.

Kumpulan itu turut menggerakkan ribuan sukarelawan membantu membersihkan rumah mangsa di Selangor, Kuala Lumpur, Kelantan, Pahang, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka.

“Semua rakyat, seperti yang saya lihat di Shah Alam dan Klang memainkan peranan mereka, tidak kira umur, jantina atau bangsa. Kita mungkin ada banyak masalah di Malaysia, tetapi sekurang-kurangnya apabila tentang menolong antara satu sama lain pada masa yang memerlukan, ramai di antara kita bersedia menghulurkan bantuan.’

Zaidel juga mengakui parti politik dari kedua-dua belah pihak memainkan peranan dalam usaha bantuan.

“Ia mungkin bukan politik yang baik, tetapi saya juga ingin iktiraf parti politik lain dari kedua-dua pembangkang dan kerajaan, terutamanya ahli akar umbi mereka yang turut turun dan melakukan apa yang mereka mampu dengan apa yang mereka ada.”

Menurut sekretariatnya, kira-kira RM480,643.44 telah digunakan daripada dana yang diperoleh dengan kebanyakkannya digunakan untuk membeli bekalan pembersihan. Selebihnya dana itu digunakan untuk pek makanan, logistik dan jaket keselamatan, antara lain.

Walaupun Muda bertindak balas dengan pantas, ia juga menghadapi beberapa cabaran kerana paras air yang tinggi.

“Kebanyakkan kerana banjir itu sendiri dan kurangnya kenderaan pacuan empat roda, tetapi kami reda dengan apa yang kami ada.”

Di beberapa kawasan seperti Sri Muda di Shah Alam dan Hulu Langat, air mencecah hingga ke bumbung menyebabkan sebahagian mangsa terkandas berhari-hari tanpa bekalan air, makanan dan elektrik.

Walau tidak mengenali sesama mereka di dunia nyata, namun itu bukan penghalang buat komuniti NFT untuk pantas mengerahkan tenaga, wang ringgit, dan bantuan barangan untuk mangsa banjir. – Gambar tangkap layar Twitter, 27 Disember, 2021.

Himpun komuniti NFT

Muhammad Khairi, 28, dengan nama akaun @RoachPunks menggunakan rangkaian luasnya dalam komuniti blockchain untuk mengumpul dana dan sukarelawan.

Ramai antara yang menjawab seruannya itu adalah orang asing yang tidak pernah ditemuinya secara langsung, kata Khairi.

“Apabila saya atur pasukan dan ciap mengenainya, sangat mengejutkan apabila ramai rakyat Malaysia pantas jawab. Segera bersetuju tanpa kenal antara satu sama lain.

“Kami bergerak tidak sampai 24 jam. Ada 50 orang yang luar biasa yang tawarkan diri. Setiap hari kami bertemu muka baru namun, kami tetap satu. Di penghujung misi kami masih tidak tahu nama masing-masing.”

Khairi dan pasukannya telah membantu di Sri Muda, Kg Baru Hicom, Batu Belah, Padang Jawa, Seksyen 23, Aeon Sri Muda, Tadom Hills dan di pusat pemindahan sementara.

Pasukannya mengagihkan makanan, jaket keselamatan, panel solar dan tandas mudah alih, antara lain untuk mangsa banjir.

Kumpulan itu mengumpulkan lebih RM100,000 melalui NFT (Non-Fungible Token).

“Kami juga ada penderma dari Singapura.”

Khairi berkata cabaran terbesar baginya dan pasukannya ialah kegelapan kerana tiada bekalan elektrik.

“Malam gelap pekat tetapi bulan menyinari kami.”

Tambahan ciri

Meluaskan rangkaian kitajaga

Laman web Kita Jaga yang mula membantu rakyat Malaysia menaikkan bendera putih untuk bantuan juga telah memasukkan usaha bantuan banjir di platformnya.

Menggunakan ciri “Banjir Kilat” pada aplikasi, mangsa banjir diminta mendapatkan barangan yang mereka perlukan sambil bersedia membantu sama ada boleh menunjukkannya di laman web atau menghubungi mangsa secara terus.

“Kami ada kira-kira 500 orang yang terjejas akibat banjir yang meminta bantuan di platform manakala sekitar 100 telah menyatakan kesediaan mereka untuk membantu,” kata Reza Razali, pengasas Terato Tech, syarikat yang membina platform itu.

Kebanyakan yang telah meminta bantuan di platform, meminta barangan runcit, barangan rumah, ubat-ubatan, barangan penjagaan bayi, produk kebersihan diri serta pakaian.

“Kira-kira 40 peratus permintaan telah diselesaikan.”

Reza berkata, banyak permintaan datang daripada mangsa banjir di Sri Muda, Dengkil dan Sepang, manakala terdapat juga permintaan daripada Karak, Bentong dan Janda Baik.

Selain menyediakan platform untuk orang ramai meminta bantuan, ia juga membolehkan NGO menggunakan platform itu untuk menggerakkan sukarelawan.

“Terdapat 20 NGO tersenarai di laman web kami. Mereka yang ingin menjadi sukarelawan boleh menghubungi organisasi secara terus.”

Ia juga mengumpul barangan daripada orang ramai untuk didermakan melalui ciri “Pusat Pengumpulan” yang dilancarkan semalam.

“Ia tempat pengedaran supaya NGO dapat kumpul dan agih barang kepada mereka yang memerlukannya,” katanya.

Hujan lebat berterusan melanda sebahagian besar Lembah Klang dari Jumaat lalu hingga Ahad, menyebabkan banjir yang dahsyat.

Negeri-negeri lain yang terjejas ialah Perak, Pahang, Kelantan, Terengganu, Melaka dan Negeri Sembilan, dengan air mencecah sehingga paras bumbung.

Kerajaan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob telah dikritik kerana lambat bertindak membantu mangsa banjir.

Lebih 43,000 orang masih ditempatkan di pusat perlindungan sementara di seluruh negara. Banjir itu turut menyebabkan 41 yang lain maut, manakala lapan lagi masih hilang. Usaha menyelamat dan pembersihan sedang dijalankan. – 27 Disember, 2021.

Iklan
Iklan