Isu teknikal, tiada kaitan cek halal atau haram, kata Bank Muamalat
Iklan
BANK Muamalat Malaysia Berhad menjelaskan tiada isu berkenaan cek halal atau tidak halal, seperti dilaporkan sebelum ini.
Ketua Operasi Perbankan Bank Muamalat Muhammad Radzuan Ab Rahman menjelaskan isu yang timbul hanyalah isu teknikal dan tiada kaitan antara cek halal atau tidak halal.
“Isunya tak sebesar seperti halal dan tidak halal (cek tersebut), bukan begitu, tiada pertikaian mengenai isu halal dan tak halal.
“Kakitangan saya kata tiada disebut mengenai halal atau tidak halal,” katanya, kepada The Malaysian Insight, ketika dihubungi hari ini.
Isu yang timbul katanya adalah nama pembayar tidak sama seperti yang berada di dalam rekod bank tersebut.
“Bila kami terima cek tersebut kamu mahu sahkan sumbernya dan tujuan derma, seperti dikehendaki Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram (AMLA),” kata Muhammad Radzuan.
Terdahulu hari ini Muhamad Radzuan mengadakan pertemuan bersama Ahli Dewan Undangan (Adun) Lobak, Chew Seh Yong menjelaskan isu tersebut.
Sidang media kemudiannya diadakan di pejabat Adun Lobak, di Seremban sejurus selepas itu.
Jumaat lalu, Chew meminta penjelasan daripada pihak bank berkenaan cek bernilai RM1,500 yang dikatakan ditolak atas alasan tidak halal.
Cek tersebut diberikan sebuah organisasi agama kepada Pertubuhan Wah Chai.
Muhamad Radzuan menjelaskan cek tersebut tidak ditendang sebaliknya dipulangkan untuk tujuan pembetulan.
“Cek bukan ditendang tapi dipulangkam semula untuk pembetulan, ini cek gereja kepada persatuan Cina, untuk tujuan pembersihan tanah kubur.
“Saya ingin nyatakan ini kes terpencil, salah faham antara pihak yang berurusan di kaunter, secara umumnya, memang tidak ada wujud isu halal dan tidak halal, hanya isu teknikal cek,” katanya lagi. – 27 Disember, 2021.