Syarikat balak jangan lepas tangan, kata Syed Saddiq
Iklan
MANGSA banjir sepatutnya boleh menerima bantuan lebih RM1,000 sekiranya syarikat balak turut menyumbang kepada kerajaan negeri dan pusat untuk meringankan beban mereka, kata Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Katanya, mangsa banjir tidak akan terdesak terlalu bergantung pada simpanan mereka dalam Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) sekiranya syarikat balak yang selama ini mengaut untung turut bertanggungjawab.
“Pengeluaran i-Citra boleh dilakukan tapi paling utama adalah pastikan bantuan kewangan dapat diberikan oleh kerajaan pusat dan kerajaan negeri… sebab itu insentif bantuan RM1,000 perlu ditingkatkan.
“Jika kerajaan pusat, kerajaan negeri bersama tauke balak bersama beri pampasan, insentif akan lebih tinggi daripada RM1,000,” katanya pada sidang media hari ini.
Kenyataan Syed Saddiq senada dengan saranan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim semalam yang menyeru syarikat perkayuan supaya bertanggungjawab dalam isu banjir.
Keadaan selepas banjir di Karak, Pahang beberapa hari lalu misalnya menunjukkan timbunan kayu balak yang dihanyutkan banjir bersama lumpur tebal.
Syed Saddiq mengadakan sidang media hari ini untuk membentangkan laporan misi bantuan banjir yang digerakkan oleh parti itu, selepas ia berjaya mengumpulkan RM2 juta hasil sumbangan orang ramai sejak sembilan hari lalu.
Beliau menjawab soalan tentang desakan Pemuda Umno supaya kerajaan membenarkan satu lagi pengeluaran simpanan KWSP untuk meringankan beban rakyat.
Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki meminta Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob supaya lebih mendengar suara rakyat dan bukan nasihat Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz.
Semalam Ismail Sabri berkata kerajaan tidak bercadang membenarkan lagi KWSP kerana sudah menyediakan bantuan kewangan kepada syarikat dan individu bagi meringankan beban mereka yang terjejas.
Tambahnya, beliau bukan menentang cadangan pengeluaran i-Citra namun ia tidak boleh dijadikan sebagai jalan keluar mudah.
“Agak tak baik dan tak boleh kekhilafan kerajaan pusat dan kerajaan negeri, tauke balak yang banyak dapat duit berjuta dilepas begitu saja kerana rakyat perlu ambil duit simpanan.
“Keutamaan kerajaan adalah pastikan bantuan kewangan mencukupi, bukan saya menidakkan i-Citra tapi itu tak boleh jadi pendekatan utama bila ada krisis keluar duit i-Citra,” katanya. – 27 Disember, 2021.