RM800,000 sumbangan bantuan banjir sudah diagih, kata Muda
Iklan
MUDA sudah menggunakan hampir RM800,000 daripada RM2 juta sumbangan awam kepadanya untuk bantuan mangsa banjir, kata presidennya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Hampir satu perempat daripadanya atau lebih kurang RM198,000 digunakan untuk membeli alatan pembersihan bagi kerja-kerja mencuci kediaman mangsa banjir, katanya.
“Majoriti perbelanjaan kita gunakan untuk alatan pembersihan dan peruntukan bajet negeri dan logistik, kerana kita tahu kita akan banyak ke kawasan yang terputus akses (untuk beri bantuan) seperti di Temerloh… banyak kawasan (jalan) yang terputus dan kita tak boleh nak sampaikan bantuan dan terpaksa sewa bot motor dan trak pacuan empat roda,” katanya pada sidang media hari ini.
Sidang media itu diadakan untuk membentangkan laporan misi bantuan banjir yang digerakkan oleh parti itu, selepas ia berjaya mengumpulkan RM2 juta hasil sumbangan orang ramai sejak sembilan hari lalu.
Awal hari ini, Muda mengumumkan berjaya memperolehi RM1 juta lagi sumbangan orang ramai sejak ia membuka tabung khas bagi membantu mangsa banjir di Pahang pada 22 Disember.
Syed Saddiq menjelaskan pihaknya masih menunggu beberapa sebut harga daripada pembekal untuk mendapatkan beberapa barangan bagi mangsa banjir, termasuk komputer riba dan barangan elektrik.
“Kita nak dapatkan harga terbaik,” katanya.
Tambahnya, Muda juga akan mengaudit duit kutipan derma yang digunakan dalam misi bantuan banjir bagi memastikan ketelusan.
Beliau merayu firma audit yang berminat untuk memberikan khidmat percuma atau potongan caj bayaran untuk membantu proses audit kutipan derma Muda.
“Buat masa ini kita belum muktamad siapa firma audit yang dipertanggungjawab sebab kita nak harga terbaik dan masa sama kualiti pun ada.
“Kalau audit makan harga tinggi sampai RM100,000 agak sukar sebab ia duit derma.
“Jadi saya nak merayu kalau audit firma yang besar ini jika mereka nak tolong mereka boleh beri khidmat percuma atau potongan harga. Kita nak pastikan setiap sen duit dana dapat digunakan dengan sebaiknya,” katanya. – 27 Disember, 2021.