Iklan

Pengusaha nekad bina vila mewah waktu sektor pelancongan lumpuh

Diyana Ibrahim3 years ago29th Dec 2021Berita
Vilapadu
Keunikan Vila Padu yang mengekalkan konsep rumah kayu tradisional.– Gambar Facebook, 29 Disember, 2021.
Iklan

SEWAKTU sektor pelancongan terjejas dan hampir lumpuh kerana pandemik Covid-19, seorang pengusaha Zulhisham Ayub, nekad membina empat penginapan percutian mewah di Terengganu.

Pemilik resort Vila Padu itu berkata idea tersebut timbul selepas melihat begitu banyak hotel ditutup ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan PKP sejak Mac 2020.

“Sektor pelancongan terjejas habis kerana pandemik. Tapi saya percaya Covid-19 ini akan berakhir dan sektor pelancongan akan hidup semula.

“Tapi ke mana rakyat Malaysia nak pergi bercuti selepas Covid-19 kalau banyak hotel yang ditutup jadi saya nampak peluang itu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pengasas agensi pengiklanan Oranje-ISC itu yakin vila mewahnya akan mendapat sambutan kerana ia menepati kemahuan rakyat yang mahu bercuti tanpa perlu risau risiko jangkitan Covid-19.

“Sebab sekarang Covid-19 saya faham rakyat Malaysia akan rasa bimbang kalau tempat yang terlalu ramai, seperti kalau menginap hotel risiko penyebaran tinggi.

“Terutama bagi yang bawa keluarga anak-anak, ibu-bapa yang warga emas mereka mesti mahu rasa selamat jadi penginapan vila sesuai kerana ia terasing dari orang ramai,” katanya.

Zulhisham berkata beliau kini memiliki satu vila mewah di Kampung Losong, Kuala Terengganu yang sudah mula beroperasi pada Oktober.

Tiga lagi vilanya iaitu di Pantai Baru Buruk, dan di tepi Sungai Kampung Serada dan Taman KP Perdana sedang dalam pembinaan dan dijangka akan mula beroperasi minggu ini.

Mengulas lanjut Zulhisham berkata, vila mewahnya di Kampung Losong itu unik kerana beliau mengekalkan konsep rumah kayu tradisional.

Zulhisham Ayub nekad membina empat penginapan percutian mewah di Terengganu. – Gambar The Malaysian Insight, 28 Disember, 2021.

“Sebenarnya rumah itu saya beli 13 tahun lalu sebagai rumah persinggahan keluarga dan saya ubah suai untuk menjadi sebuah vila mewah dan kita kekalkan ciri-ciri rumah tradisional.

“Tapi kita semua tahu  penyelenggaraan rumah kayu tradisional ini bukan mudah, kosnya amat tinggi,” katanya.

Beliau memperuntukan kos sebanyak RM10 juta bagi pembinaan empat vila mewahnya – yang dianggapnya sebagai risiko yang harus perlu diambil sebagai seorang ahli perniagaan.

“Kerana ini adalah mentaliti orang perniagaan saya yakin saya boleh buat. Saya nak dalam pasaran yang tak ada orang buat.

“Di Terengganu ini berapa ramai yang buka penginapan vila mewah macam saya. Tak ramai jadi saya berani ambil risiko ini,” katanya.

Kenapa di Terengganu?

Zulhisham berkata memilih untuk lokasi itu kerana ia merupakan negeri kelahirannya dan atas rasa tanggungjawab untuk memajukan sektor pelancongan di negeri tersebut.

Jelasnya, Terengganu mempunyai banyak produk pelancongan tapi potensi itu tidak digunakan sepenuhnya oleh kerajaan negeri.

“Terutama dalam penawaran perkhidmatan. Terus terang saya katakan Terengganu agak ke belakang susah kita nak dapat hotel yang betul- betul bagus dan selesa.

“Sebab saya tahu pelancong mereka nak percutian yang selesa, mereka tak kisah bayar lebih sikit asalkan selesa,” katanya.

Oleh itu beliau memastikan vila itu selesa dan bersih serta mempunuai tekanan air tinggi, pendingin hawa yang berfungsi, kemudahan peralatan dapur yang lengkap dan wifi percuma.

Terengganu mencatat kehadiran 5.2 pengunjung domestik dan antarabangsa pada 2019. – 29 Disember, 2021.

Iklan
Iklan