Iklan

Sela masa dos penggalak sekarang hanya 3 bulan, umum menteri kesihatan

Hailey Chung Wee Kye3 years ago28th Dec 2021Berita
50753433018 ef0e73ca8a b
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata janji temu bagi dos penggalak akan diutamakan untuk mereka yang mempunyai masalah kesihatan, bermula Januari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Disember, 2021.
Iklan

TEMPOH menunggu dos penggalak imunisasi Covid-19 dipendekkan daripada enam bulan kepada tiga bulan bagi penerima vaksin jenis Pfizer dan AstraZeneca, umum Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Janji temu bagi dos penggalak atau juga disebut dos ketiga bagaimanapun akan diutamakan untuk mereka yang mempunyai masalah kesihatan, bermula Januari ini, katanya. 

“Semua individu dewasa yang menerima semua jenis vaksin (Pfizer, AZ dan CoronaVac) amat disyorkan untuk menerima vaksin penggalak mereka sekurang-kurangnya tiga bulan selepas menerima vaksin primer,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata janji temu untuk dos penggalak akan diberikan mengikut turutan umur bermula daripada 50 tahun ke atas, 40 tahun ke atas, dan seterusnya 18 tahun ke atas.

Selain individu yang mempunyai komorbiditi penduduk dan kakitangan di pusat jagaan kesihatan jangka panjang juga akan diberi keutamaan, katanya.

Kementerian Kesihatan memutuskan untuk mengurangkan sela masa selepas badan kawal selia di United Kingdom, Kanada dan Australia serta pakar kesihatan membuat cadangan itu.

Khairy berkata kajian awal menunjukkan perlindungan suntikan dos penggalak berkesan terhadap jangkitan varian Omicron.

Sela masa dos penggalak untuk vaksin CoronaVac yang dibangunkan oleh Sinovac sudah tiga bulan tetapi sebelum ini penerima vaksin Pfizer dan AstraZeneca perlu menunggu sela masa enam bulan. – 28 Disember, 2021.

Iklan
Iklan