Tubuh RCI siasat punca banjir, kata Ramasamy kepada Putrajaya
Iklan
PUTRAJAYA perlu menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menentukan punca dan langkah mitigasi banjir dahsyat yang melanda beberapa negeri pada 18 Disember, kata P Ramasamy.
Timbalan pengerusi DAP Pulau Pinang yang timbalan ketua menteri II itu berkata adalah penting bagi menentukan sama ada punca sebenar adalah kesan perubahan iklim atau campur tangan manusia.
“Saya harap ahli Parlimen dapat menyokong langkah ini ke hadapan.
“Tanpa siasatan yang serius dan bertanggungjawab, banjir mungkin akan segera dilupakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hujan lebat pada 18 Disember lalu menyebabkan banjir di Lembah Klang, Pahang, Kelantan, Negeri Sembilan dan Melaka.
Taman Sri Muda di Shah Alam, Hulu Langat dan Karak menyaksikan kerosakan paling dahsyat dengan paras air hingga ke bumbung dan beberapa rumah dihanyutkan arus deras.
Di Karak, aktiviti pembalakan menyebabkan banjir lumpur dan balak mengalir ke dalam sungai serta pekan, menyukarkan proses pembersihan pasca banjir.
Ramasamy berkata sudah tiba masanya kerajaan mengambil serius terhadap perubahan iklim.
“Para saintis telah memberi amaran kepada kita tentang perubahan iklim sejak sekian lama.
“Bagaimanapun, formula politik negara bangsa sekarang menyukarkan penguatkuasaan langkah-langkah yang akan mengurangkan kesan buruk pemanasan global.”
Pembalakan yang tidak terkawal juga perlu dihentikan, tambahnya.– 29 Disember, 2021.