9 sukarelawan Muda bantu operasi banjir positif Covid-19
Iklan
SERAMAI sembilan sukarelawan Muda yang bertugas dalam operasi bantuan mangsa banjir di ibu pejabatnya didapati positif Covid-19, kata parti itu dalam satu kenyataan.
Ketua Penerangan Muda Zaidel Bahauridin berkata sebahagian yang didapati positif berkenaan adalah kontak rapat kepada empat kes dua hari lalu.
“Selepas semua ujian saringan dilakukan, jumlah kes positif yang berkaitan dengan pejabat operasi banjir Muda meningkat kepada sembilan orang.
“Empat daripada kes ini adalah kontak rapat kepada empat kes lain yang sebelum ini disahkan positif dan disahkan menerusi ujian PCR,” katanya.
Zaidel berkata lima kes positif turut dikesan dalam kalangan sukarelawan yang bekerja di lokasi banjir di Negeri Sembilan.
“Semua kontak rapat sudah dimaklumkan dan kes positif dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM).”
Sementara itu, 100 sukarelawan daripada Muda Johor yang membantu operasi banjir di Bentong didapati negatif Covid-19 selepas melakukan ujian RTK-Antigen.
Pada 28 Disember, Muda berkata empat sukarelawannya yang bertugas di pusat operasi bantuan banjir di ibu pejabat parti didapati positif Covid-19.
Parti itu menggerakkan ribuan sukarelawan untuk membantu operasi bantuan banjir di Lembah Klang, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan dan Kelantan. – 30 Disember, 2021.