Iklan

9 sukarelawan positif Covid-19 tak patah semangat Muda

Raevathi Supramaniam3 years ago1st Jan 2022Berita
Pahang flash flood disaster 02
Muda akan meneruskan operasi membantu mangsa banjir walaupun sembilan ahli jawatankuasa parti itu positif Covid-19, kata setiausaha agungnya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 1 Januari, 2022.
Iklan

IKATAN Demokratik Malaysia (Muda) akan meneruskan operasi membantu mangsa banjir walaupun sembilan ahli jawatankuasa parti itu positif Covid-19, kata setiausaha agungnya.

Amira Aisya Abd Aziz berkata semua taklimat mengenai koordinasi bantuan banjir Muda kini dijalankan menggunakan aplikasi Zoom.

“Semuanya secara dalam talian, setiap pagi dan malam kami akan bermesyuarat secara maya bagi memastikan semua kera berjalan lancar.

“Kerja-kerja pembersihan masih berjalan. Koordinasi bagi Kuala Lumpur dan Selangor kita buat secara maya, tetapi di Temerloh, Pahang kita ada ibu pejabat koordinasi banjir. Jadi, semua berjalan seperti biasa,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Menurut Amira, Muda sentiasa melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) harian di ibu pejabat koordinasi banjir bagi mengelakkan jangkitan Covid-19.

“Sesiapa sahaja yang masuk (ibu pejabat) perlu buat ujian kendiri terlebih dahulu. Begitu juga sukarelawan, mereka mesti jalani saringan RTK-Antigen sebelum ke lapangan.

“Dua hari lalu, selepas seorang individu disahkan positif, kami hantar semua yang berada di ibu pejabat untuk jalani ujian saringan Polymerase Chain Reaction (PCR). Lapan orang disahkan positif,” kata Amira.

Tambahnya, sembilan sukarelawan yang dijangkiti itu antara 20 yang bertugas di lapangan membantu mangsa banjir.

“Ada yang tidak mengalami gejala. Ketua logistik kami (disahkan positif) masih menyelaraskan pasukan logistik.”

Mangsa banjir perlu segera dibantu

Almira memberitahu The Malaysian Insight, kepimpinan parti sebelum ini ada berbincang sama ada untuk menangguhkan sementara operasi bantuan mangsa banjir.

“Pernah bincang sama ada tangguh atau tidak, tetapi kami tak mahu simpan dana untuk jangka masa yang lama.

“Kami ada RM2 juta yang perlu digunakan, kami tidak boleh tunggu lama sampai semua mangsa pulih. Kami perlu bertindak secepat yang mungkin bantu mangsa banjir,” jelasnya.

Muda baru-baru ini melancarkan inisiatif Bangkit khusus untuk membantu rakyat Malaysia yang terjejas akibat banjir, merangkumi bantuan kewangan serta peralatan termasuk untuk pelajar sekolah dan mahasiswa.

“Daripada RM2 juta yang dikumpul setakat ini, RM500,000 diperuntukkan untuk Bangkit. Namun sumbangan khusus untuk Bangkit datang mencurah-curah.

“Setakat ini kami terima sumbangan wang tunai RM70,000 untuk Bangkit. Kami juga terima sumbangan barangan elektrik seperti peti sejuk, baucar makanan bernilai RM50,000, 2,000 pek makanan dan 100 peralatan dapur.

“Seorang penderma juga menyumbang dua rumah kontena,” kata Amira. – 1 Januari, 2022.   

Berita penuh di sini

Iklan
Iklan