Iklan

MoU dengan kerajaan tak gagal, kata wakil rakyat Pakatan

Diyana Ibrahim3 years ago2nd Jan 2022Berita
Mou
Memorandum persefahaman dimeterai antara kerajaan dan Pakatan Harapan pada September lalu.– Gambar Pejabat Perdana Menteri, 2 Januari, 2022.
Iklan

MEMORANDUM Persefahaman (MoU) yang dimaterai September lalu tidak gagal biarpun prestasi kerajaan tidak memberangsangkan, kata ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH).

Mereka memberitahu The Malaysian Insight kerajaan setakat ini dilihat melaksanakan beberapa perkara dalam MoU itu terutama mengenai reformasi institusi.

Penganalisis pula membangkitkan persoalan mengenai kestabilan perjanjian tersebut ekoran tekanan demi tekanan dari Umno untuk mengadakan pilihan raya umum lebih awal.

Ahli Parlimen Kangar Nor Amin Ahmad berkata usaha untuk memenuhi kandungan MoU itu bagaimanapun agak perlahan memandangkan ia banyak melibatkan pindaan undang-undang.

“Setakat ini kerajaan berkomunikasi dengan Pakatan dari masa ke masa sebab memang ada jawatankuasa pemandu untuk MoU ini.

Beliau memberi contoh komunikasi itu meliputi Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang sudahpun dibentangkan di Parlimen.

Usaha memenuhi MoU itu juga dapat diperhatikan apabila kerajaan tidak mengemukakan tuntutan di mahkamah untuk mencabar usaha membenarkan warga 18 tahun mengundi.

“Dan yang lain dalam bulan Mac kita dimaklumkan ada beberapa lagi RUU dibentangkan seperti had tempoh dua penggal perdana menteri dan akta lompat parti.

“Jadi kemajuan itu ada cuma perlahan sedikit disebabkan melibatkan peruntukan undang-undang, proses untuk perubahan reformasi itu pelbagai,” kata ahli Parlimen PKR itu.

Tambahnya MoU itu juga tidak akan menyekat PH daripada mengkritik atau menyuarakan isu terutama yang tidak termasuk dalam perjanjian itu.

“Kita memang rasa prestasi kerajaan tidak begitu baik cuma untuk MoU ini apa yang kita lihat kemajuan itu ada,” katanya.

MoU kerajaan dengan PH dimaterai sebulan selepas perdana menteri kesembilan Ismail Sabri Yaakob mengangkat sumpah jawatan ekoran pergelutan politik Umno dengan Bersatu.

Keadaan politik waktu itu membawa kepada MoU Transformasi dan Kestabilan Politik yang menyatakan ikrar kerajaan untuk tidak mengusulkan pembubaran Parlimen sebelum 31 Julai 2022.

Enam agenda MoU itu antara lain merangkumi pemerkasaan pelan Covid-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen dan kebebasan institusi kehakiman.

Ia turut meliputi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembentukan jawatankuasa pemandu bagi pindaan undang-undang termasuk Akta Antilompat Parti dan had tempoh jawatan perdana menteri.

Jawatankuasa itu juga berperanan menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya SPR mempercepat pelaksanaan pendaftaran umur minima pengundi 18 tahun.

Pada bulan lalu, timbul gesaan dari pemimpin Umno supaya pilihan raya umum diadakan lebih awal selepas parti Melayu itu menang pilihan raya negeri Melaka.

Gesaan itu antara lain disuarakan timbalan presiden parti Mohamad Hasan dan setiausaha agung parti, Ahmad Maslan yang mahu mandat diserahkan semula kepada rakyat.

Ia ditentang pelbagai pihak yang bimbang pemimpin Umno yang berdepan pelbagai tuduhan salah laku di mahkamah masih berpeluang melepaskan diri jika pilihan raya itu diadakan lebih awal.

Mengulas kebimbangan itu, Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata beliau percaya desakan Umno untuk mengadakan pilihan raya umum lebih awal bukan berpunca dari perdana menteri.

Beliau yakin desakan itu ditimbulkan oleh beberapa pemimpin Umno terutama individu yang berdepan dengan tuduhan kes mahkamah untuk melepaskan diri mereka.

“Masalah MoU perundingan tidak berlaku dengan Umno tapi berlaku dengan perdana menteri  itu perbezannya.

“Kalau Umno nak adakan PRU, itu kehendak (dan) pilihan mereka sebab mereka takut nak elak kena penjara

“Mereka inilah yang nak kumpulan  kluster mahkamah (terlepas),” katanya.

Beliau melihat Umno cuba mengambil kesempatan ke atas kemenangan dalam pilihan raya negeri Melaka dan kemenangan sekutu mereka dalam pilihan raya negeri Sarawak.

“Sebab itu mereka nak adakan PRU dengan cepat untuk mengambil kesempatan lepas menang di Sarawak dan Melaka.

“Mereka nak PRU cepat kerana ia beri kepentingan dan kelebihan kepada mereka,” katanya lagi.

Tegasnya, beliau melihat MoU tersebut masih memberi kebaikan kepada PH kerana terdapat usha yang berjalan seperti Undi 18 dan Akta Lompat Parti serta perbincangan dalam jawatankuasa.

“Cuma kita jangan terperangkap dengan Najib Razak dan Ahmad Zahid Hamidi. Lebih baik mereka masuk penjara,” katanya, merujuk dua pemimpin Umno yang berdepan pelbagai kes mahkamah itu.

Sementara itu penganalisis politik Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar berpendapat, masih ada kekeliruan keberkesanan MoU itu walau beberapa pembaharuan institusi berjaya dilakukan.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu berkata, ia disebabkan kekurangan komitmen daripada semua parti.

Beliau memberi contoh keputusan kabinet meluluskan permohonan Najib mendapatkan sebidang tanah bernilai tinggi di Kuala Lumpur, dan peristiwa yang membawa kepada kejatuhan kerajaan negeri Melaka bulan lalu.

“Dua kes ini yang menjadi tanya tanya penglibatan komitmen parti untuk MoU,” kata Tunku Mohar.

Beliau turut membangkitkan persoalan mengenai kestabilan perjanjian MoU tersebut memandangkan ia dimaterai ketika Umno dalam kedudukan yang rapuh.

“Idea MoU ini bagus tapi sukar untuk berjaya jika pemimpin itu tidak mempunyai pengaruh atau kuasa dalam partinya.

“Sebab itu kita tengok ada dari Umno yang meminta untuk PRU diawalkan terutama dari kumpulan Zahid dan Najib.

“Dan pengaruh Ismail Sabri dan kuasa beliau tidak begitu besar dalam Umno jadi  beliau tidak mempunyai kawalan dalam partinya,” katanya. – 2 Januari, 2022.

Iklan
Iklan