Iklan

Pelantikan Redzuan terajui GLC tidak beretika, kata Bersih

Raevathi Supramaniam3 years ago4th Jan 2022Berita
Mohd redzuan md yusof
Ahli Parlimen Alor Gajah Mohd Redzuan Md Yusof sebagai pengerusi bebas bukan eksekutif Boustead Holdings Berhad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Januari, 2022.
Iklan

PUTRAJAYA perlu berhenti melantik ahli politik sebagai ketua bagi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kerana ia tidak beretika, kata Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) hari ini.

Badan pemantau pilihan raya itu mengulas mengenai pelantikan Ahli Parlimen Alor Gajah Mohd Redzuan Md Yusof sebagai pengerusi bebas bukan eksekutif Boustead Holdings Berhad.

Ia berkata pelantikan politik seperti itu juga boleh ditafsirkan sebagai cara untuk mendapatkan sokongan kepada kerajaan.

“Walaupun beliau yang juga merupakan ahli parti Bersatu dikatakan mempunyai pengalaman di syarikat awam dan swasta, kecenderungan politik serta peranan sebagai wakil rakyat menjadikan lantikan ini dilihat sebagai satu lagi kes di mana kerajaan mendapat sokongan MP menerusi kaedah yang tidak beretika.

” Hal ini membuka kemungkinan salah guna sistem dan mungkin akan merugikan kemajuan negara dan prestasi ekonomi agensi tersebut,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

Melantik ahli politik untuk jawatan sedemikian juga akan mengalihkan tumpuan mereka sebagai ahli Parlimen yang berkhidmat kepada orang ramai, kata Bersih.

“Lebih utama adalah peranan mereka untuk menyemak imbang kerajaan termasuk prestasi GLC yang diselia oleh eksekutif. Justeru, MP tidak seharusnya memegang apa-apa jawatan dalam GLC.”

Kumpulan itu menggesa kerajaan menggubal Akta GLC untuk melarang pelantikan politik serta menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Parlimen untuk meneliti pelantikan tersebut.

“Gejala ini telah membarah di Malaysia sekian lamanya dan untuk bergerak ke hadapan kita perlu menghentikan salah guna kuasa ini.”

Pelantikan ahli politik untuk peranan sedemikian juga akan menghalang GLC daripada mempunyai profesional yang boleh menyumbang dengan lebih baik kepada tadbir urus korporat dan prestasi ekonomi lebih baik, tambahnya.

Boustead Group, yang dimiliki oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) merupakan badan berkanun di bawah Kementerian Pertahanan, berkata pengalaman luas Redzuan dalam bidang korporat dan awam akan meningkatkan syarikat itu ke tahap baharu.

Redzuan sebelum ini berkhidmat sebagai menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dari 2018 hingga 2020, dan kemudiannya sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) dari 2020 hingga 2021.

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Kejuruteraan Awam dari University of Leeds, United Kingdom, dan memulakan kerjayanya sebagai jurutera dengan Esso Malaysia Sdn Bhd, dan kemudiannya berkhidmat di Petronas Carigali Sdn Bhd.

Selain Redzuan, ahli Parlimen lain yang pernah memegang jawatan GLC ialah:

* Mahdzir Khalid (Umno) – Tenaga Nasional Berhad
* Ahmad Jazlan Yaakob (Umno) – Lembaga Minyak Sawit Malaysia
* Ahmad Nazlan Idris (Umno) – Lembaga Getah Malaysia
* Mohd Salim Shariff (Umno) – Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah
* Tajuddin Rahman (Umno) – Prasarana Malaysia
* Ramli Mohd Nor (Umno) – AmanahRaya
* Jalaluddin Alias ​​(Umno) – UDA Holdings
* Hasbullah Osman (Umno) – Syarikat Perumahan Negara
* Ahmad Fadhil Shaari (PAS) – Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran
* Nik Mohamed (PAS) – Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan
* Wan Hassan Mohd Ramli (PAS) – Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara
* Che Alias ​​Hamid (PAS) – Lembaga Pelabuhan Kemaman
* Nik Muhammaed Zawawi (PAS) – Pihak Berkuasa Pertubuhan Peladang
* Yusuf Abd Wahab (GPS) – Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan
* Wilson Kumbong (GPS) – Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara
* Lukanisman Saudi (GPS) – Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari

Selain ahli Parlimen, pelantikan lain yang dilihat sebagai politik termasuk Naib Presiden MCA Tan Teik Cheng mengetuai Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang dan Senator Razali Idris yang juga mengetuai Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah. – 4 Januari, 2022.

Iklan
Iklan