Kit Siang gesa Azam Baki bersihkan nama melalui j/kuasa pilihan Parlimen
Iklan
KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki perlu menghadap Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk membersihkan namanya kerana ia lebih meyakinkan, kata Lim Kit Siang hari ini.
Veteran DAP itu berkata demikian mengulas kenyataan Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM Abu Zahar Ujang yang membersihkan ketua agensi antirasuah daripada sebarang salah laku berhubung dakwaan pemilikan saham korporat.
“Persoalan penting, kenapa Azam tidak kata yang beliau bersedia menghadap Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri; untuk membersihkan dirinya daripada dakwaan konflik kepentingan yang pertama kali dibuat terhadapnya lebih dua bulan lalu.
“Pastinya pelepasan sebarang konflik kepentingan oleh jawatankuasa pilihan mempunyai lebih kredibiliti dan nilai berbanding jawatankuasa SPRM sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu juga mempersoalkan adakah adik Azam bersedia untuk turut hadir di hadapan jawatankuasa pilihan untuk membersihkan nama abangnya.
Awal hari ini, Pengerusi Lembaga Penasihat SPRM Abu Zahar Ujang berkata ketua agensi antirasuah itu telah memberi penjelasan kepada lembaga mengenai perkara tersebut.
Dalam pertemuan itu, Azam menjelaskan pembelian saham tersebut dibuat oleh adiknya Nasir Baki pada 2015 menggunakan akaunnya, kata Abu Zahar.
Abu Zahar berkata pembelian saham terbabit dibuat melalui saham terbuka, yang kemudian dipindahkan semula kepada Nasir pada tahun yang sama. Oleh itu, tiada konflik kepentingan.
Sidang media hari ini adalah yang pertama sejak isu saham ini dibangkitkan oleh bekas ahli panel SPRM Edmund Terence Gomez kepada Abu Zahar, dan kepada Borhan Dolah, yang mempengerusikan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah.
Gomez meletak jawatan daripada panel Borhan bulan lalu sebagai membantah tiadanya tindakan selepas beliau mengutus surat kepada kedua-dua pengerusi beberapa kali mengenai kebimbangan pegangan saham korporat Azam.
Pad 14 Disember hari Ahli Parlimen Sungai Buloh R Sivarasa membangkitkan isu itu di Dewan Rakyat, bertanya sama ada Azam telah isytiharkan dakwaan memiliki 2.15 juta saham dalam Excel Force MSC Bhd pada 2015, serta 1.93 juta saham dalam Gets Global Bhd pada tahun yang sama dan 1.02 juta saham pada tahun berikutnya.
Azam, yang telah berkhidmat dengan SPRM selama 36 tahun, ketika itu mengetuai unit siasatan agensi berkenaan.
Lim berkata sidang media SPRM hari ini juga meninggalkan banyak persoalan yang tidak terjawab.
Sivarasa bersetuju keputusan lembaga itu menimbulkan lebih banyak persoalan berbanding jawapan.
“Penjelasan itu kini menimbulkan lebih banyak persoalan berbanding sebelum ini, saya akan keluarkan kenyataan penuh esok mengenai perkara itu,” kata Sivarasa.
Dalam masa sama ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil turut bersetuju dengan Lim supaya perkara itu dibawa ke Parlimen kerana ia berkait kepentingan rakyat.
“Sidang akhbar itu menimbulkan begitu banyak persoalan. Ramai ahli Parlimen lebih suka perkara ini dijawab di Parlimen. Ia demi kepentingan orang ramai untuk berbuat demikian,” kata Fahmi.
Sementara itu, Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) berkata keputusan lembaga itu tidak sama seperti siasatan bebas.
Pengarah eksekutif C4 Cynthia Gabriel memberitahu Free Malaysia Today hanya siasatan bebas boleh membersihkan nama Azam malah menggesa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berbuat demikian tanpa berlengah-lengah.
Walaupun lembaga pengarah mungkin telah membersihkan nama Azam, beliau berkata beberapa perkara masih belum dijawab, seperti mengapa nama Azam terus muncul sebagai pemilik berjuta-juta saham dalam Gets Global Bhd dan Excel Force MSC Bhd pada 2016.
Beliau juga berkata Azam mungkin melanggar APeraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 berdasarkan pemilikan saham itu, mempersoalkan mengapa tiada tindakan tatatertib diambil terhadapnya.
Ia juga mungkin melanggar Seksyen 25 (4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 yang memperuntukkan mana-mana akaun sekuriti yang dibuka mestilah atas nama pemilik benefisial, tambahnya. – 5 Januari, 2022.