Iklan

Mahkamah lapangkan perbicaraan 1MDB Najib sehingga 26 Januari kerana kekurangan saksi

Hailey Chung Wee Kye3 years ago6th Jan 2022Berita
Najib razak tmikamal 03
Perbicaraan 1MDB bekas perdana menteri Najib Razak dilapangkan sehingga 26 Januari selepas pihak pendakwaan gagal membawa saksi untuk memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Januari, 2022.
Iklan

PERBICARAAN 1MDB bekas perdana menteri Najib Razak dilapangkan sehingga 26 Januari selepas pihak pendakwaan gagal membawa saksi untuk memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memberi jaminan kepada mahkamah situasi serupa tidak akan berlaku apabila perbicaraan disambung pada 26 dan 27 Januari.

“Sebagaimana arahan mahkamah pagi ini pihak pendakwaan cuba memanggil saksi untuk hadir ke mahkamah dan memberi keterangan petang ini.

“Bagaimanapun saya minta maaf kebanyakan mereka sudah mula bekerja dan mempunyai urusan masing-masing untuk diselesaikan yang tidak boleh ditangguhkan pada saat akhir,” kata Akram.

Perbicaraan Najib ditangguhkan pagi ini selepas bekas ketua pegawai kewangan 1MDB Azmi Tahir demam dan memberikan sijil cuti sakit. Lima saksi lain juga tidak dapat hadir atas pelbagai alasan lain.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Collin Lawrence Sequerah memerintahkan pendakwaan dihentikan untuk memanggil lebih ramai saksi daripada senarainya.

Akram berkata berikutan gangguan hari ini pihak pendakwaan menyediakan empat saksi untuk bersiap sedia bagi tarikh perbicaraan seterusnya akhir bulan ini. 

Saksi berkenaan ialah bekas ketua pegawai kewangan 1MDB Azmi Tahir, bekas pengarah 1MDB Ismee Ismail, bekas pegawai khas Najib Wan Ahmad Shihab Wan Ismail dan bekas pengerusi 1MDB Mohd Bakke Salleh.

“Jika perkara seperti hari ini berlaku lagi kami akan ada pengganti. (Ia tidak akan) seperti hari ini,” kata Akram.

Hakim Sequerah kemudian menangguhkan perbicaraan.

Najib berdepan 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan RM2.28 bilion dana 1MDB yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun AmBanknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Ahli Parlimen Pekan berusia 68 tahun itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika didapati bersalah. – 6 Januari, 2022.

Iklan
Iklan