Iklan

Lembaga penasihat SPRM tiada kuasa siasat agensi, kata bekas pengerusi

Raevathi Supramaniam3 years ago7th Jan 2022Berita
Tunku abdul aziz tmikamal 03  full
Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata terdapat perkara di luar bidang kuasa lembaga itu, seperti yang termaktub dalam Akta SPRM 2009. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Januari, 2022.
Iklan

LEMBAGA Penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mempunyai kuasa menyiasat tindakan agensi itu mahupun pegawainya, kata bekas pengerusi lembaga itu Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim.

Beliau berkata terdapat perkara di luar bidang kuasa lembaga itu, seperti yang termaktub dalam Akta SPRM 2009.

“Panel ini tidak mempunyai kuasa untuk menyiasat kelakuan pegawai,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Semasa saya menjadi pengerusi, saya sedar hakikat yang saya diletakkan dalam kapasiti penasihat semata-mata.

“Perkara dilakukan atas dasar yang perlu diketahui, jadi isu di luar skop kami benar-benar di luar jangkauan kami.

“Itulah sebabnya selain apa yang berlaku sekarang, atau apa yang saya panggil ‘Azam Affair’, perdana menteri mesti menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap SPRM, tahap rasuah dan keberkesanannya seperti mana ia ditubuhkan dan dianjurkan sekarang.

“Dalam erti kata lain, terdapat keperluan untuk semakan menyeluruh terhadap struktur (agensi) sekarang.”

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki didakwa memiliki 2.15 juta saham dalam Excel Force MSC Bhd pada 2015, serta 1.93 juta saham dalam Gets Global Bhd pada tahun yang sama dan 1.02 juta saham pada tahun berikutnya.

Panel penasihat membersihkannya daripada sebarang salah laku.

Azam memberitahu media beliau membenarkan adiknya, Nasir, menggunakan akaun dagangannya untuk membeli saham daripada kedua-dua syarikat itu.

Saham itu kemudian dipindahkan ke akaun Nasir, tambahnya.

Tetapi Akta SPRM 2009 menyatakan yang lembaga penasihat tidak mempunyai kuasa untuk menjalankan siasatan sendiri.

Akta tersebut membenarkan lembaga penasihat hanya menasihati agensi berkenaan aspek rasuah, dasar dan strategi untuk menghapuskan rasuah, serta meneliti dan menyokong cadangan yang membawa kepada pengendalian agensi yang berkesan.

Lembaga juga bertanggungjawab meneliti dan mengesahkan sumber diperlukan oleh suruhanjaya itu, meneliti laporan tahunan dan menyerahkannya kepada Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah.

Tunku Aziz berkata keputusan lembaga itu untuk menjalankan siasatan sendiri walaupun tidak diberi kuasa berbuat demikian menunjukkan ia amat memerlukan jawatankuasa pengawasan.

“Mana-mana syarikat tanpa lembaga pengarah atau organisasi tanpa jawatankuasa pengawasan eksekutif, itulah sebabnya berlaku sikap ini. Mereka boleh berbuat sesuka hati kerana tiada sesiapa yang memantau.

“Tiada organisasi di dunia melakukan penjagaan kendiri. Tetapi kerana kekurangan pengawasan, berlaku situasi ini.

“Jika kita serius memerangi rasuah, kita perlu menubuhkan lembaga eksekutif yang memerlukan SPRM bertanggungjawab terhadapnya. Lembaga yang mempunyai kuasa untuk mengarahkan dasar dan aspek operasi agensi perlu ditubuhkan. Jika tidak, kita hanya bermain untuk memerangi rasuah.”

Beliau berkata lembaga eksekutif harus terdiri daripada warganegara yang mempunyai kelayakan cemerlang - individu tidak mempunyai kepentingan untuk melindungi kedudukan mereka sendiri, sebaliknya melihat semua isu rasuah yang berpotensi.

Walaupun SPRM sepatutnya sebuah badan bebas, ia terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri. Ia juga mempunyai ramai pegawai tertinggi yang merupakan penjawat awam.

Tunku Aziz berkata: “Anda panggil mereka sebagai pesuruhjaya, (tetapi) mereka hanyalah pegawai kerajaan.”

“Pesuruhjaya sepatutnya lembaga pesuruhjaya, yang sepatutnya menjadi badan pentadbir, tetapi ia tidak pernah wujud. 

“Institusi ini dicurigai kerana ia digunakan secara politik sejak rejim Tun Dr Mahathir Mohamad (bekas perdana menteri). Sebaik sahaja anda menjadikan penjawat awam kanan terhutang budi kepada ketuanya, integriti mereka dicurigai.”

Tunku Aziz berkata keadaan Malaysia sekarang lebih teruk berbanding 20 tahun lalu, ketika beliau memulakan usaha memerangi rasuah.

“Saya memulakan kempen menentang rasuah 20 tahun lalu, dan ia menjadi lebih teruk 20 tahun kemudian. Ada orang yang tahu membanteras rasuah, tetapi tidak biasa kerana ia sukar diurus; jadi mereka ambil kroni. Ini mengarut.

“Saya bimbang dengan apa yang berlaku kepada negara yang pernah dipandang tinggi, di mana kita bercakap tentang rasuah di negara lain.

“Malaysia sentiasa berada di atas, tetapi ia berada di bawah hari ini.”

Tunku Aziz bertugas dengan Bank Dunia dan berkhidmat sebagai penasihat khas kepada bekas setiausaha agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Kofi Annan. – 7 Januari, 2022.

Iklan
Iklan