Perniagaan masih berdepan cabaran untuk terus bertahan
Iklan
WALAUPUN seluruh negara sudah masuk Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara, perniagaan masih berdepan cabaran untuk terus bertahan, kata persatuan perdagangan.
Di bawah Fasa 4, sektor awam dan swasta dibenarkan beroperasi sepenuhnya dengan pertemuan bersemuka dan temu duga dibenarkan.
Persatuan perdagangan berkata selain wabak Covid-19, banjir yang melanda bulan lalu juga memberi tamparan hebat kepada banyak perniagaan.
Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) menganggarkan 5,000 perniagaan menghentikan operasi tahun lalu manakala 61,360 orang kehilangan pekerjaan.
Bagaimanapun, jumlah itu masih lebih rendah berbanding data 2020, yang menyaksikan 32,000 perniagaan gulung tikar manakala 107,000 kehilangan pekerjaan direkodkan.
“Membina semula dan memulakannya semula akan mengambil masa. Ia tidak mudah kerana sekatan menyebabkan banyak syarikat tiada urus niaga.
“Mereka yang terselamat daripada sekatan akibat Covid-19 (tetapi) dilanda banjir ini mungkin tidak dapat bertahan lagi,” kata Presiden MEF Dr Syed Hussain Syed Husman.
Sementara kuantum kerugian akibat banjir masih belum dimuktamadkan, ia dianggarkan sekitar RM20 bilion.
Syed Hussain berkata selain ganti rugi, majikan juga menanggung kos perubatan dan kerugian perniagaan akibat kehilangan tempoh pengeluaran.
“Banjir yang memberi kesan kepada negara menyebabkan banyak gangguan kepada perniagaan. MEF berharap kita semua dapat pulih dengan cepat daripada kesan banjir dan meneruskan usaha meletakkan usaha pemulihan ekonomi kita di landasan yang betul,” katanya.
“Banjir berlaku semasa tempoh mencabar, apabila perniagaan dibuka semula selepas sekatan yang panjang.
“Terdapat juga tekanan emosi dan mental. Kerugian yang begitu banyak adalah sangat sukar untuk pemulihan. Sudah tentu semua ini akan memberi kesan kepada ekonomi. Kadar pertumbuhan 2022 yang dirancang akan terjejas,” kata Syed Hussain.
Beliau berkata walaupun kerajaan sedang melakukan yang terbaik untuk menguruskan bencana Covid-19 dan banjir, pemulihan yang cepat dijangka tidak berlaku dengan mudah.
“Kita perlu pulih daripada kesan buruk,” katanya.
Kemunculan varian Omicron juga menjadi ancaman kepada unjuran pemulihan ekonomi yang optimistik bagi tahun ini.
“Kenyataan menteri kesihatan yang kes harian Covid-19 di Malaysia boleh melonjak melebihi 30,000 menjelang akhir Mac jika langkah pencegahan seperti menangguhkan perjalanan umrah ke Arab Saudi tidak diambil untuk membendung gelombang Omicron, sememangnya sangat membimbangkan,” katanya.
Beliau menambah pemulihan ekonomi Malaysia juga akan bergantung kepada pemulihan ekonomi global, terutama rakan dagangan utamanya.
“Tabung Kewangan Antarabangsa meramalkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia akan meningkat sebanyak 6.0% dan Bank Dunia mengunjurkan pertumbuhan KDNK pada 5.8%,” katanya.
“Prospek pemulihan ekonomi disokong oleh inisiatif yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2022 dan Rancangan Malaysia Ke-12.
“Pelaksanaan pelbagai pakej rangsangan dan bantuan membantu majikan, terutamanya PKS (perusahaan kecil dan sederhana mikro) untuk mengekalkan perniagaan mereka dan mengekalkan pekerja, sekali gus menstabilkan pasaran buruh,” kata Syed Hussain.
Tempoh mencabar bagi industri pelancongan
Industri pelancongan adalah antara sektor paling terjejas akibat perintah kawalan pergerakan (PKP) yang lama dan sekatan perjalanan.
Naib Presiden Inbound dan Domestik dan ahli majlis eksekutif Persatuan Pelancong dan Ejen Pelancongan Malaysia (Matta) Ganneesh Ramaa berkata tidak semua ejen mendapat manfaat daripada program gelembung perjalanan.
“Sejak pembukaan gelembung perjalanan untuk pelancongan domestik pada 16 September 2021, (pasaran) menunjukkan prestasi yang baik. Rakyat Malaysia mula meneroka dalam negara dan bukannya melancong ke luar negara,” katanya.
Pameran Matta yang diadakan pada November tahun lalu adalah bukti, kerana majoriti urus niaga adalah untuk destinasi domestik.
Namun begitu, hanya sebilangan kecil ejen yang mendapat manfaat daripada ini, terutama ejen yang berpangkalan di destinasi seperti Langkawi, Sabah dan pulau, katanya.
Ganneesh berkata memandangkan pelancong berurusan secara langsung dengan penyedia perkhidmatan pelancongan, tidak banyak ruang untuk penglibatan ejen.
“Ia tidak memberi manfaat kepada ejen yang berpangkalan di Lembah Klang yang merupakan pasaran terbesar perjalanan domestik,” katanya.
Beliau berkata ejen yang hanya memberi tumpuan kepada kemasukan pelancong antarabangsa tidak dapat beroperasi sejak PKP pertama dikenakan pada 18 Mac, 2020.
Agensi tidak akan dapat dibuka semula selagi ketibaan pelancong antarabangsa masih dihadkan.
“Kumpulan ejen ini paling teruk terjejas dan mengalami kerugian jutaan ringgit dengan mengekalkan tenaga kerja mereka, kenderaan dan kos lain seperti sewa, utiliti, kos komunikasi dan kos pematuhan berkanun semasa wabak ini,” katanya.
Kebanyakannya ditutup buat sementara waktu. Jika penutupan ini berlangsung selama enam bulan lagi, beliau percaya percaya kebanyakannya akan ditutup secara kekal.
Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Islam Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid memberitahu The Malaysian Insight jumlah kes Covid-19, banjir, kekurangan pekerja asing dalam sektor utama seperti pembuatan, perladangan dan perkhidmatan serta kesesakan bekalan berpotensi menjejaskan momentum pemulihan.
“Buat masa ini, penunjuk ekonomi seperti PMI Pembuatan Malaysia (Indeks Pengurus Pembelian) agak baik dengan indeks kekal melebihi 50 mata untuk tiga bulan berturut-turut antara Oktober hingga Disember tahun lepas.
“Jadi pengeluar agak yakin tentang prospek tahun ini,” kata Afzanizam.
“Bagaimanapun, turun naik dalam pasaran ekuiti menunjukkan keadaan mungkin tidak terlalu lancar memandangkan risiko penurunan yang masih ada.”
Katanya, secara keseluruhan ekonomi dijangka berkembang baik tahun ini walaupun diramal dicemari oleh ketidaktentuan yang melibatkan Covid-19 dan kesesakan bekalan dalam pelbagai industri.
Tarikh 25 Januari ini, genap dua tahun sejak Covid-19 melanda Malaysia. PKP pertama dikenakan pada Mac 2020.
Ia menyebabkan banyak perniagaan terjejas teruk kerana mereka terpaksa menghentikan operasi. – 8 Januari, 2022.