PAS perlu tunjuk kuasa tuntut royalti minyak Kelantan, kata aktivis
Iklan
PAS perlu membuktikan kuasa penentunya dalam politik tanah air melalui usaha mendapatkan bayaran royalti minyak yang dijanjikan untuk Kelantan, kata kumpulan pendesak.
Presiden Pertubuhan Royalti (R) Kelantan Nazri Deraman berkata PAS perlu menggunakan kuasa penentu yang diuar-uarkannya sewaktu membentuk kerajaan Perikatan Nasional.
“Sebab itu ahli Parlimen PAS Kelantan serta menteri dan timbalan menteri perlu memainkan peranan dan ini masa dan peluang keemasan untuk berbuat demikian.
“Tidak kira dari PAS atau mana-mana parti pun seandainya gagal tentu rakyat akan buat perhitungan dalam masa pilihan raya akan datang,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Katanya, R akan menggerakkan rakyat Kelantan untuk bangkit kembali menuntut bayaran royalti minyak bagi menguatkan semula desakan sejak 10 tahun lalu.
“Kita kira tempoh sekarang sehingga pilihan raya umum merupakan tempoh baik.
“Saya nak ingatkan kepada kerajaan persekutuan bahawa kemenangan PAS di Kelantan pada PRU14 adalah kemenangan berkait isu royalti.
“Kerana itu saya ingatkan kerajaan pusat jangan bermain isu royalti minyak kerana ia sudah akan beri kesan dalam sudut politik bukan saja pada negeri tapi pusat juga,” katanya.
Pemuda Amanah Kelantan pula menggesa ahli Parlimen PAS meletak jawatan sekiranya keputusan kerajaan pusat dalam isu bayaran royalti tidak menyebelahi rakyat Kelantan.
Ketuanya Hazmi Hassan yang juga bekas penggerak R pula kecewa kerana pemimpin PAS pada waktu ini bersikap dayus kerana tidak dilihat terkedepan dalam menyatakan tuntutan itu.
“Inilah bukti pemimpin PAS dalam kabinet dayus. Royalti adalah perjuangan tanpa warna bendera politik, namun bila PAS jadi sebahagian kerajaan perjuangan royalti terus dilupakan.
“Ahli Parlimen Kelantan perlu letak jawatan jika gagal mendapatkan hak rakyat,” katanya.
Gesaan itu timbul ekoran pengumuman Putrajaya pada November wang royalti minyak tidak akan dibayar kepada kerajaan negeri Kelantan.
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz memberitahu Parlimen, kerajaan sebaliknya akan membayar wang ihsan kerana medan pengeluaran petroleum berada luar perairan Kelantan.
Dalam jawapannya pada November berkata kementeriannya masih menunggu keputusan rundingan antara kerajaan negeri dan pusat berhubung perkara itu.
Mengulas perkara itu, Timbalan Menteri Besar Mohd Amar Abdullah memberitahu The Malaysian Insight, kerajaan negeri masih lagi menunggu tarikh untuk berjumpa dengan perdana menteri.
Beliau berkata kerajaan negeri mengambil pendirian untuk menunggu dulu sehingga pertemuan dengan kerajaan pusat diadakan sebelum tindakan lanjut dapat dilakukan.
“Buat masa ini kita tak ada maklumat, tarikh kita masih tak dapat. Kali terakhir kita berjumpa perdana menteri untuk bincang pasal isu pada tahun lepas.
“Kita tidak tahu apa sebab kerajaan pusat tidak mahu membayar Kelantan sedangkan Kelantan mengikut perjanjian,” katanya.
Tuntutan untuk meraih bayaran royalti minyak digerakkan Kelantan melalui saman ke atas kerajaan persekutuan dan Petronas semasa pentadbiran Menteri Besar Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Saman yang difailkan pada 2011 itu kemudian ditarik balik pada Oktober 2018 Kelantan susulan jaminan kerajaan ketika itu untuk membayar wang royalti minyak kepada kerajaan negeri.
Seterusnya kerajaan Kelantan mengumumkan menerima bayaran pendahuluan kira-kira RM15.7 juta daripada Putrajaya pada September 2018.
Bayaran itu disebut menteri kewangan waktu itu Lim Guan Eng sebagai wang royalti minyak, yang kemudian disanggah Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob sebagai kenyataan mengelirukan.
Menurut Ahmad, bayaran pendahuluan itu hanya bentuk wang ehsan dan bukan royalti minyak sedangkan Kelantan sepatutnya menerima RM1.03 bilion dalam bentuk royalti minyak bagi 2017.
Rakyat Kelantan boleh saman Putrajaya
Mengulas perkembangan itu, Nazri berkata rakyat Kelantan patut menolak kenyataan Zafrul kerana ia jelas bercanggah dengan Akta Kemajuan Petroleum 1974.
Nazri membangkitkan, jaminan ke atas bayaran itu juga pernah dinyatakan perdana menteri kedua Abdul Razak Husin di Parlimen.
Ia menjamin setiap negeri akan menerima 5% dari nilai petroleum yang dijumpai dan diperoleh kawasan perairan atau luar perairan negeri, katanya.
Pengerusi sulung Petronas Tengku Razaleigh Hamzah juga mengesahkan bayaran wang ihsan sebagai ganti royalti tidak termaktub dalam Akta Kemajuan Petroleum 1974.
Bayaran itu bagaimanapun terbatas dengan kiraan sempadan perairan kerajaan negeri yang digariskan Akta Laut Wilayah 2012 – tidak lebih 3 batu nautika diukur dari garis air surut.
Perkara itu menjadi tumpuan utama bengkel disertai R, tenaga akademik dan juga kerajaan negeri bulan lalu, kata Nazri.
“Hasil dari bengkel tersebut kerajaan negeri menolak Akta Laut Wilayah 2012 seperti diputuskan dalam sidang DUN Kelantan dan kita buat ketetapan negeri ini layak menerima wang royalti.”
Sidang DUN itu merujuk kepada mesyuarat dewan tahun 2015 melalui usul menolak akta tersebut.
Nazri juga berkata, beliau dimaklumkan pemimpin kerajaan Kelantan dan Putrajaya akan berunding dalam masa terdekat berhubung tuntutan itu.
“Biar begitu saya yakin dan percaya hubungan baik pusat dan negeri memberi keyakinan tinggi isu ini akan dapat diselesaikan.
“Jika gagal seperti yang saya kata rakyat pasti akan menilai semasa PRU nanti,” katanya.
Walaupun kerajaan negeri tidak dapat mengemukakan saman sekali lagi kerana sudahpun ditarik balik, tuntutan berkenaan masih boleh digerakkan oleh rakyat, kata Nazri.
“Walau begitu, kita ada pilihan lain di mana saman boleh dibawa oleh rakyat Kelantan sendiri,” katanya.
Selain itu, konflik pembayaran royalti minyak boleh diselesaikan dengan penubuhan Majlis Petroleum Negara sepertimana terkandung dalam Akta Kemajuan Petroleum 1974, katanya. – 9 Januari, 2022.