Mekanik Kluang bantu mangsa banjir secara percuma
Iklan
SEKUMPULAN mekanik dari Kluang, Johor membaiki lebih 100 motosikal mangsa banjir di Taman Sri Nanding di Hulu Langat tahun lalu dan kini merancang untuk melakukan perkara sama di Banting minggu ini.
Kumpulan 25 mekanik itu pertama kali ke Sri Nanding pada hujung Disember dan memberikan perkhidmatan kepada pemilik motosikal yang rosak disebabkan banjir.
Mereka akan berada di Banting untuk membantu mangsa banjir di sana membaiki motosikal mereka mulai Rabu (12 Januari).
Ketua kumpulan Anuar Salikan, 35, yang juga pemilik Syahmi Racing Kluang berkata, idea membantu mangsa banjir kali pertama dicetuskan oleh seorang rakan.
“Kami tidak mempunyai kemahiran lain untuk disumbang, tetapi kami boleh membaiki motosikal, jadi kami memutuskan untuk membantu mereka secara percuma kerana ia mungkin satu-satunya pengangkutan bagi kebanyakan mangsa,” kata Anuar kepada The Malaysian Insight.
“Memandangkan perkhidmatan kami percuma, mangsa boleh menjimatkan wang mereka berbanding menghantar motosikal mereka ke bengkel.”
Anuar bersama kumpulan itu bertolak ke Sri Nanding pada 29 Disember dan kembali pada 31 Disember. Dalam tempoh dua hari, mereka dapat membaiki lebih 100 motosikal.
“Salah seorang mekanik yang datang bersama kami ada sepupu di Sri Nanding, jadi dia tolong tunjukkan kami.
“Bagi memudahkan mangsa mendapatkan perkhidmatan, kami menggunakan ruang kosong di masjid berhampiran. Ia kemudiannya dikongsi dengan beberapa kumpulan taman perumahan bahawa kami berada di sana untuk membaiki motosikal secara percuma.”
Perkhidmatan yang disediakan kumpulan itu termasuk menukar minyak, menukar palam dan karburetor, kata Anuar.
Sekiranya motosikal itu dihantar untuk dibaiki di bengkel, mangsa perlu membayar sekurang-kurangnya RM200 untuk semua pembaikan, katanya.
“Memandangkan kebanyakan kami yang pergi membantu memiliki bengkel sendiri, kami mengumpulkan semua alat ganti yang diperlukan untuk pembaikan. Secara keseluruhannya, semua alat ganti itu berharga lebih RM10,000,” kata Anuar sambil menambah mereka juga menggunakan duit poket sendiri bagi kos perjalanan dan penginapan.
Pada Rabu, Anuar dan sekumpulan mekanik yang lebih besar merancang untuk ke Banting bagi membantu mangsa banjir di sana.
“Kali ini, ada kumpulan yang lebih besar pergi, kira-kira 30 daripada kami. Kebanyakan mereka yang pergi memiliki bengkel sendiri manakala yang lain adalah mekanik yang mengambil cuti untuk bersama kami.”
Anuar berkata, kumpulan itu juga berharap untuk membaiki lebih 200 motosikal memandangkan terdapat lebih ramai sukarelawan.
Hujan lebat pada hujung minggu 18 Disember menyaksikan sebahagian besar Lembah Klang ditenggelami air banjir.
Taman Sri Nanding di Hulu Langat antara kawasan terjejas teruk dengan paras air mencecah sehingga bumbung manakala ada rumah dihanyutkan arus deras. – 10 Januari, 2022.