Pelantikan Azam Baki ketuai SPRM teratur, kata Muhyiddin
Iklan
PELANTIKAN Azam Baki sebagai pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibuat secara teratur mengikut proses dan prosedur, kata bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said yang mempersoalkan proses pelantikan Azam selepas ketua agensi antirasuah itu dikaitkan dengan isu pemilikan berjuta-juta saham dan waran pada 2015 dan 2016.
Azam dilantik mengetuai SPRM berkuatkuasa 9 Mac 2020 selepas ketua pesuruhjaya sebelumnya Latheefa Koya letak jawatan susulan peralihan kerajaan Perikatan Nasional menggantikan Pakatan Harapan.
Menurut Muhyiddin, nama Azam sebagai ketua SPRM dicadangkan oleh sebuah jawatankuasa yang diketuai Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali.
“Saya sebagai perdana menteri bersetuju dan (minta) perkenan kepada Agong, dan Agong memperkenankan.
“Dia dilantik waktu saya (perdana menteri) bila berlaku kekosongan bekas pesuruhjaya berhenti maka perlu ada penggantinya… yang melantik bukan saya, tetapi selepas diperkenan Agong.
“Pelantikan itu teratur ikut peraturan, pelantikan penting seperti itu tak dilakukan dengan begitu mudah… melalui sebuah proses dan diperaku jawatankuasa,” kata Muhyiddin di Putrajaya hari ini.
Muhyiddin bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN).
Bekas perdana menteri juga menegaskan proses pelantikan itu dijalankan dengan betul dan teratur.
“KSN kemuka cadangan nama, bukan saya pilih, dia (nama Azam) dicadangkan… dia layak dan mematuhi kriteria, proses itu betul dan teratur jadi jangan kaitkan proses dengan kes.
“Ia (pelantikan) diperkenankan Yang di-Pertuan Agong dan saya tidak fikir ada satu kesalahan daripada prosedur lantikan.
“Itu urusan KSN di bawah jawatankuasa yang ada,” katanya.
Semalam, Azalina yang juga penasihat undang-undang kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mempersoalkan sama ada Muhyiddin membuat pemeriksaan terperinci sebelum melantik Azam menggantikan Latheefa.
Kedudukan Azam baki dan integriti SPRM yang diterajuinya jadi perhatian selepas pensyarah politik ekonomi Edmund Terence Gomez letak jawatan daripada anggota Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) SPRM pada 27 Disember.
Gomez letak jawatan sebagai membantah apa yang disifatkannya sikap acuh tak acuh Pengerusi Lembaga Penasihat SPRM Abu Zahar Ujar dan pengerusi PPPR Borhan Dollah berhubung maklumannya mengenai dakwaan terhadap Azam.
Beliau mendakwa wujud “konflik kepentingan” melibatkan pegawai tinggi agensi antirasuah serta hubung kait antara perniagaan dan penguatkuasa.
Azam didakwa mempunyai jumlah saham yang besar dalam syarikat tersenarai awam dan dipercayai tidak mengisytiharkan pemilikannya, yang juga heboh sejak lebih dua bulan lalu di Twitter melalui sebuah akaun atas nama Edisi Siasat. Akaun itu kini dalam siasatan pihak polis.
Azam menafikan salah laku sebaliknya mendakwa adiknya menggunakan akaun atas namanya untuk membeli saham berkenaan.
Susulan pengakuan itu, Suruhanjaya Sekuriti berkata mereka akan menyiasat Azam mengikut Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA).
Polis DiRaja Malaysia juga memaklumkan semua laporan yang dibuat terhadap Azam dirujuk kepada Suruhanjaya Sekuriti untuk siasatan.
Abu Zahar dalam satu sidang media minggu lalu mengumumkan pihak lembaga penasihat menerima penjelasan Azam. Enam ahli lembaga penasihat itu bagaimanapun kemudian berkata mereka tidak bersetuju dengan Abu Zahar dan kenyataan itu pandangan peribadinya. – 10 Januari, 2022.