Aktiviti sukarelawan banjir di Pahang, Lembah Klang lancar tanpa gangguan
Iklan
TIADA gangguan daripada pihak berkuasa semasa operasi bantuan banjir di Pahang dan Lembah Klang, kata sukarelawan bantuan banjir kepada The Malaysian Insight.
Mereka berkata kerja bantuan berjalan lancar tanpa campur tangan pihak berkuasa.
Ini berlaku selepas enam sukarelawan Muda di Johor dipanggil untuk disoal siasat kerana melanggar peraturan Covid-19 ketika membantu mangsa banjir di negeri itu.
Ketua Muda Syed Saddiq Syed Abdal Rahman menegur pihak berkuasa kerana melayan sukarelawan seperti penjenayah.
Ketua Muda Johor Mohd Azrol Ab Rahani berkata sukarelawan itu didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) kerana tidak mendapat kebenaran untuk melakukan usaha menyelamat banjir dan bantuan daripada pegawai daerah Segamat.
Ketika aktiviti bantuan di Pahang dan Lembah Klang masih diteruskan, pekerja bantuan berkata usaha semakin perlahan kerana kebanyakan kawasan sudah kembali normal dengan penduduk pulang dari pusat pemindahan.
Segar, ahli perniagaan dari Kuala Lumpur yang dalam perjalanan ke Mentakab, Pahang menaiki lori tiga tan yang membawa bantuan berkata beliau tidak menghadapi sebarang masalah dengan pihak berkuasa.
“Di Mentakab tidak ada perkara seperti itu. Tiada masalah (dengan pihak berkuasa),” katanya kepada The Malaysian Insight.
Katanya, beliau pernah dihalang sekali ketika memasuki satu kawasan di Shah Alam ketika paras air masih tinggi.
“Di Shah Alam, mereka mengehadkan bot persendirian untuk masuk menghulurkan bantuan memandangkan hari sudah gelap. Jadi mereka mengambil alih.”
Segar, yang dalam perjalanan ke Mentakab sejak Disember berkata, lawatannya Rabu ini adalah perjalanan kelapan dan terakhir bagi menyampaikan bantuan ke negeri itu.
“Saya mempunyai perniagaan menjual sarung tangan perubatan dan peralatan perlindungan diri yang terabai buat sementara waktu, saya perlu kembali kepadanya.”
Lembah Klang dan beberapa negeri lain seperti Pahang, Kelantan, Negeri Sembilan dan Melaka dilanda banjir akibat hujan lebat pada hujung minggu 18 Disember lalu.
Beberapa minggu selepas itu, Johor masih ditenggelami banjir, dengan Segamat menjadi antara kawasan paling terjejas apabila 2,000 penduduk terpaksa dipindahkan.
Jayendran Jayaraman yang menghulurkan bantuan di Karak, Pahang juga berkata mereka tidak menghadapi sebarang masalah dengan pihak berkuasa.
“Tiada apa-apa, semuanya berjalan lancar. Orang di sini mengenali kami dan mereka tahu apa yang kami lakukan,” katanya.
Jayendran yang menggunakan kuil tempatan, Sri Balasubramaniar Aalayam Karak, sebagai pusat pengumpulan berkata beliau masih mempunyai kira-kira 300 paket barangan runcit untuk dihantar.
Selepas itu, beliau juga akan menghentikan operasi.
“Dalam tempoh 10 hari lagi berkemungkinan besar kami akan selesai mengagihkan semua barang. Kami masih mendapat sumbangan yang akan kami agihkan apabila menerimanya.”
Di Selangor, Siva, seorang sukarelawan yang pernah menghulurkan bantuan di Shah Alam dan Klang berkata beliau tidak pernah dihalang daripada menyampaikan bantuan.
“Kami baru sahaja ke Pulau Carey di Klang untuk menyumbang perabot seperti meja belajar dan katil. Tiada siapa menghalang kami.
“Saya ke Karak, Temerloh dan Sri Muda, tiada siapa menghalang kami. Tetapi anda mengambil risiko sendiri untuk masuk ke sana.
“Kami kini mengumpul lebih banyak barang untuk diagihkan di Kedah dan Johor yang kemungkinan besar akan dibuat minggu depan.”
Yap Chun Wei yang pernah membantu di Sri Muda turut berkongsi pengalaman yang sama.
“Setakat ini kami sangat bernasib baik kerana tidak mempunyai sebarang masalah dan semuanya berjalan lancar.”
Beliau bersama 20 hingga 30 sukarelawan membantu pada hujung minggu kerana ramai sudah kembali bekerja dan tidak lagi dapat membantu setiap hari. – 11 Januari, 2022.