Iklan

Majikan mahu pekerja kembali ke pejabat untuk pulihkan perniagaan

Hailey Chung Wee Kye3 years ago11th Jan 2022Berita
Pekerja
Ramai pekerja yang teruja untuk kembali ke pejabat selepas hampir dua tahun mengamalkan budaya kerja dari rumah.– Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Januari, 2022.
Iklan

SYARIKAT menggesa kakitangan mereka untuk kembali ke pejabat selepas hampir dua tahun budaya bekerja dari rumah (WFH) yang dicetuskan oleh Covid-19, kata majikan.

Mereka berkata pejabat tidak menjadi perkara lalu dan masih relevan serta penting kepada banyak syarikat.

Organisasi mengidamkan kembali kepada “normal lama” selepas gaya kerja “normal baharu” semasa wabak itu tidak mengaut keuntungan, kata mereka.

Bagaimanapun, mereka juga mengakui bahawa tempoh yang mana pihak pengurusan terpaksa bereksperimen dengan pengaturan WFH dan menggunakan alat teknologi memang berkesan untuk pertumbuhan syarikat.

Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Syed Hussain Syed Husman berkata pemulihan perniagaan kini menjadi tumpuan utama kebanyakan syarikat.

Beliau berkata WFH diamalkan oleh banyak syarikat semasa pandemik kerana ia adalah satu-satunya pilihan yang ada.

Syed Hussain berkata penyambungan semula secara beransur-ansur operasi fizikal yang dilihat hari ini masih belum sepenuhnya berikutan kebimbangan penularan varian Covid-19 Omicron.

Banjir besar di beberapa negeri baru-baru ini turut menjadi penghalang untuk kembali ke pejabat, kata Syed Hussain.

“Dengan kembalinya pekerja ke tempat kerja, majikan akan mengharapkan pekerja melaksanakan tugas mereka dan bekerjasama sebagai satu pasukan, untuk membawa perniagaan sekurang-kurangnya ke tahap pasca-pandemik,” kata Syed Hussain.

Sementara tekanan berulang-alik ke tempat kerja kembali, beliau berkata beberapa cabaran kerja lain pada masa yang sama turut terhapus.

Ini termasuk isu sambungan internet yang lemah di rumah, dan membantu pekerja yang merasakan tiada pemisahan yang jelas antara kerja dan kehidupan peribadi semasa WFH.

“Pekerja sendiri lebih suka bekerja dari pejabat,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Setelah tinggal di rumah selama hampir 18 bulan, ramai pekerja berasa terkurung dan mengalami banyak isu dengan interaksi sosial dan tekanan.

“Adalah lebih sukar bagi pekerja muda untuk mendapatkan pengalaman daripada rakan sekerja yang lebih berpengalaman tanpa interaksi secara bersemuka.”

Syed Hussain berkata WFH boleh berjaya jika pekerja selesa, teratur dan sihat untuk mengekalkan produktiviti mereka pada tahap yang boleh diterima oleh syarikat.

Pengasas bersama dan ketua pegawai eksekutif (CEO) Leaderonomics Roshan Thiran bersetuju dengan Syed Hussain dari segi bahawa ramai pekerja terkurung di rumah untuk masa yang lama.

“Ramai yang teruja untuk pergi dan berada di pejabat yang mana terdapat persahabatan dan hubungan.

“Terdapat beberapa faedah untuk orang ramai bertemu secara bersemuka, tetapi tidak semestinya setiap hari,” katanya kepada The Malaysian Insight. – 11 Januari, 2022.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan