Kabinet dua lapis Hadi tak Islamik dan bersifat diskriminasi, kata pemerhati
Iklan
SEBENARNYA idea pembahagian Kabinet Presiden PAS Abdul Hadi Awang itu bersifat sistem kasta dalam agama, kata penganalisis Dr Wong Chin Huat.
Penganalisis sosial dan politik Penang Institute itu berkata jika PAS dapat membentuk kerajaan persekutuan pun, ianya tidak mencerminkan Islam sebagai rahmat buat seluruh alam (rahmatan lil alamin) apatah lagi sebagai asas ketamadunan dunia agama.
“Malah, Islam (pula) menjadi asas teologi ketuanan dan diskriminasi bagi orang Islam terhadap bukan Islam pula. Perkauman tebal atas nama agama.
“Orang Islam digambarkan sebagai kasta utama dengan hak eksklusif untuk membuat dasar, manakala bukan Islam pula (hanya) sebagai kasta bawahan yang mungkin boleh dianggap sebagai mangsa,” katanya.
Penjelasan Wong itu merujuk kepada cadangan kabinet Abdul Hadi Awang hari ini di mana Presiden PAS itu berkata, jika partinya mengambil alih kerajaaan, setiap kaum akan diberi peranan tersendiri. Orang Islam akan diletakkan dalam kabinet yang menentukan dasar nasional sementara bukan Islam akan dilantik dalam kabinet lain untuk melaksanakan dasar.
Justeru Wong berkata orang Islam patut menentukan sendiri adakah ketuanan Islam selari dengan Islam yang sebenar.
“Jika orang Islam yang minoriti, adakah orang Islam akan anggap perkara itu tak masuk akal? Jika mereka rasa begitu (tak masuk akal), mereka patut faham yang orang Islam pun rasa begitu.
“Dia mencipta jarak dalam kerajaan berdasarkan kepercayaan (agama). Dalam masyarakat majmuk, agama seseorang itu bukanlah faktor utama tetapi (faktor utama) adalah kebolehannya,” kata Wong, menambah yang beliau setuju jika cadangan itu dilaksanakan, ianya akan menimbulkan ketegangan agama.
Sementara itu, politikus pula berpendapat idea Hadi itu tidak sesuai dengan identiti Malaysia sebagai sebuah negara majmuk dan berbilang budaya.
Bekas pemimpin PAS, Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, Hadi memang “obses” dengan “kerangka orang Islam lawan orang bukan Islam.”
“Kenapa perlu ada dikotomi Islam, bukan Islam dalam negara yang ditentukan secara demokrasi dan merit?
“Pemikirannya tentang orang Islam lawan bukan Islam berlawanan dengan asas negara ini yang dicipta berdasarkan perkongsian dan kerakyataan yang saksama.
“Kabinet hanyalah salah satu cabang kerajaan selain Kehakiman dan Perundangan. Anggota Kabinet (dilantik) secara konsensus oleh parti yang berkuasa.
“Tidak ada tanda aras antara perlaksanaan dan pembuatan dasar,” kata Mujahid yang juga naib presiden Amanah.
Mujahid berkata rakyat Malaysia yang menerima idea Hadi itu perlu faham yang mereka sebenarnya meletakkan negara di “hujung tanduk,” bakal membawa pemikiran orang Islam Malaysia ke arah yang lebih dogmatik, dan terkebelakang.
“Rakyat Malaysia sentiasa bekerja keras memastikan negara ini menjunjung hak sama rata dan demokrasi berdasarkan keadilan dan kesaksamaan,” tambahnya.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pula berkata, Kabinet dua lapis Hadi itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
“Apa yang dia cakap, jadikan orang Islam sebagai bos, orang bukan Islam sebagai pekerja ini tak masuk akal untuk rakyat Malaysia, terutamanya terhadap orang bukan Islam. Ia macam nak mengenakan dua jenis kewarganegaraan, ada kelas pertama, ada kelas kedua,” kata Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.
Corak pemikiran Hadi
Dalam pada itu Wong berkata obsesi terhadap perlawanan antara Islam dan bukan Islam ini sudah berlanjutan sejak sekian lama lagi.
“Dalam Amanat Hadi 1981 yang terkenal itu, dia mengutuk BN kerana mempertahankan ‘perlembagaan penjajah, undang-undang kafir dan pra-Islam’.
“Secara mudahnya, dia mengecam Malaysia sebagai negara yang tidah sah dan perlu digantikan dengan pelaksanaan Syariah.
“Sejak 30 tahun lalu, ideanya itu tersebar luas. Jadi, tak susah untuk kita andaikan yang Hadi cuba memuaskan fantasinya.”
PAS pernah bersama DAP dan PKR dalam gabungan dikenali sebagai Pakatan Rakyat sebelum memutuskan untuk keluar kerana perbezaan pendapat.
Parti Islam itu sekarang ini menubuhkan blok kedua pembangkang dikenali sebagai Gagasan Sejahtera. Dijangkakan, dalam PRU14 kelak, gabungan kecil ini akan mencelah bertanding tiga penjuru dengan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional.
Di bawah pimpinan Hadi, PAS dilihat semakin jumud, tambahan apabila baru-baru ini beliau mengutarakan yang hanya orang Islam sahaja akan membuat dasar, dan sebagai ahli kabinet jika PAS memerintah negara.
Bagaimanapun, pakar perlembagaan Dr Abdul Aziz Bari berkata Hadi dilihat cuba membuat kawalan kerosakan (damage control) setelah menyinggung perasaan bukan Islam dengan cadangan kabinet dua lapisnya itu.
“Saya fikir dia hanya cuba membuat damage control, tak lebih dari itu. Dan malangnya kenyataan awal tentang kabinet hanya untuk orang Islam itu sudah tertanam dalam minda masyarakat khususnya bukan Islam. Lebih sukar lagi kenyataan kabinet eksklusif untuk orang islam itu selari dengan kenyataan yang lain termasuk menghentam DAP bagi pihak Umno dan banyak lagi.”
Abdul Aziz berkata PAS perlu menang kerusi yang banyak dahulu sebelum bersembang mengenai pembentukan kerajaan dan kabinet.
“Sedangkan masa PAS tengah hebat sewaktu Fadzil Noor pun mereka hanya menang 27 kerusi sahaja. Di zaman Hadi, Pas makin lemah dari 24 kerusi pada 2008 merosot kepada 21 pada 2013. Kali ini sukar untuk PAS menang sebanyak itu.
“Jadi, kenyataan Hadi itu tidak kena pada masanya. Menang belum tentu nak cakap soal kabinet,” katanya. – 4 Februari, 2018.