Penganggur politik Umno yang mahu PRN Johor, kata Bersatu
Iklan
TEKANAN untuk mengadakan pilihan raya negeri Johor berpunca dari penganggur politik dan pemimpin Umno yang berdepan dengan kes mahkamah, kata pemimpin Bersatu.
Pengarah operasi jabatan pilihan raya Bersatu Badrul Hisham Shaharin berkata ia berkait dengan ego dan ketamakan golongan ini yang kehilangan kedudukan dalam pentadbiran negeri.
“Agenda PRN ini dibuat oleh pemimpin yang nak selamatkan diri (dari tuduhan di) mahkamah dan penganggur politik,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Jelasnya, golongan ini pada mulanya mahu menekan perdana menteri yang juga naib presiden Umno Ismail Sabri Yaakob untuk mengadakan pilihan raya umum selepas menang PRN Melaka.
“Kononnya semasa PRN Melaka mereka menang besar tapi peningkatan cuma 5% sebab itu mereka tidak berani nak uji untuk PRU, mereka desak dulu untuk PRN,” kata Badrul Hisham.
Tambahnya lagi agenda yang dibawa kumpulan penggangur politik itu sangat jelas kerana tiada masalah timbul dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Malah, tiada cubaan digerakkan pembangkang pada waktu ini untuk menggulingkan kerajaan pimpinan Umno di negeri itu walau pentadbiran negeri hanya dikuasai dengan majoriti satu kerusi.
“Sebenarnya tidak ada langsung keperluan pilihan raya dari asas pentadbiran menteri besar muncul alasan kata lebih satu kerusi.
“Dari pengundian belanjawan negeri sampai semua perkara dari pihak bukan kerajaan, PN Bersatu dan pembangkang tak pernah timbul masalah,” katanya.
Jelasnya, Perikatan Nasional (PN) mampu mengambil tindakan sama di Johor seperti dilakukan Umno yang menggulingkan kerajaan negeri Perak pada Disember 2020.
Kemelut politik Perak berlaku apabila menteri besar dari Bersatu Ahmad Faizal Azumu hilang kepercayaan majoriti wakil rakyat apabila hanya meraih 10 undi berbanding 48 undi yang menolak.
Mengulas perkembangan itu, Badrul Hisham berkata Bersatu melalui Perikatan Nasional tetap setia menyokong walau diperlakukan sedemikian rupa di Perak.
“... Kita ambil ketetapan bahawa pengkhianatan (yang) berlaku di Perak tidak menghalang kita melakukan perkara sama juga di Johor.”
Tambahnya, walaupun tiada arahan dari pemimpin tertinggi parti mengenai PRN, Bersatu sedia untuk berunding dengan Umno bagi mengekalkan kuasa dominan Melayu dalam pentadbiran Johor.
Begitu pun, beliau menjangkakan rundingan dengan Umno akan gagal kerana campur tangan dari penganggur politik parti itu.
“Jika rundingan gagal kita sebenarnya tidak mempunyai pilihan dan bersedia bertanding di semua kerusi,” katanya.
Bukan Umno yang mahu PRN
Timbalan ketua Umno negeri Nur Jazlan Mohamed pula menafikan usaha mengadakan PRN digerakkan atas kehendak parti itu.
Beliau berkata Umno Johor seboleh-bolehnya mahu mengelakkan PRN kerana mahu menumpukan pemulihan ekonomi negeri yang terjejas teruk akibat Covid-19.
Nur Jazlan seterusnya mendakwa rancangan itu hanyalah kempen politik kotor Pakatan Harapan (PH) kerana kerajaan negeri hanya mempunyai kelebihan satu kerusi DUN.
“Macam mana pun PH kata mereka nak sokong kerajaan negeri tapi belakang nampak mereka masih cucuk lagi.
“Maksudnya dekat luaran, Johor nampak tenang tapi di belakang ugut-mengugut itu berterusan. Sebab itu saya kata kalau pasal PRN tanyalah pada PH,” katanya.
Bagaimanapun beliau berkata Umno Johor sudah lama bersedia dari tahun lepas lagi untuk menghadapi PRN melihat dari kemungkinan yang ada.
Ujarnya Umno Johor akan tetap dengan pendirian untuk bergerak secara solo tanpa Bersatu mahupun PAS sekiranya PRN atau PRU15 diadakan.
“Saya ulangi semula pendirian kita Umno mahu bertanding sendirian tanpa Bersatu, PAS juga kita tak nak,” katanya
Umno kini menguasai kerajaan negeri dengan kelebihan satu kerusi selepas Adun Kempas yang juga bekas menteri besar Osman Sapian meninggal dunia pada 21 Disember lalu.
Desas-desus mengenai PRN itu berlarutan apabila ia tidak dinafikan Menteri Besar Hasni Mohamad.
Hasni berkata beliau tidak pernah membuat sebarang keputusan berhubung PRN namun majoriti tipis itu diambil kira sebelum memutuskan untuk membubarkan DUN Johor.
Johor yang ditadbir oleh Barisan Nasional menguasai 28 kerusi dengan 14 kerusi parti tunjangnya Umno, MIC (2) dan selebihnya PAS (1) dan Bersatu (11).
PH pula menguasai 27 kerusi iaitu melalui DAP (14), Amanah (6) dan PKR (7).
Penganalisis politik tolak bayangan PRN
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomudin Bakar berkata beliau tidak melihat PRN Johor akan diadakan sekiranya tiada tekanan dari mana-mana pihak.
Katanya, memorandum persefahaman (MoU) ditandangani PH dan kerajaan selepas Ismail Sabri dilantik menjadi perdana menteri kesembilan menghalang pemilihan itu berlaku.
“Sebab bagi saya, adanya memorandum persefahaman antara PH dan kerajaan jadi kita tak nampak ada tekanan di Johor.
“Kita tak nampak kemelut Johor ini seperti di Melaka dan pembangkang tidak beri tekanan kepada menteri besar dan kerajaan Johor walau mempunyai kelebihan satu kerusi.
Jelasnya, ia berdasarkan penelitian ke atas perkara munasabah yang mungkin berlaku memandangkan tiada tekanan yang berlaku pada waktu ini.
Jika hanya nak mengadakan PRN semata-mata nak dapatkan kerajaan besar dengan majoriti stabil lebih baik dilakukan semasa PRU15,” katanya.
Seorang lagi penganalisis, Mazlan Ali juga senada dan berpendapat PRN Johor tidak wajar diadakan memandangkan negara berdepan pelbagai krisis ekonomi, Covid-19 dan musibah banjir.
Jika PRN berlaku, ia pasti didalangi Umno yang ingin mengambil peluang meneruskan momentum kejayaan semasa PRN Melaka, kata pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu.
“Tapi kita tak nampak reaksi pembangkang dan tak nampak pun ada percubaan ugut kerajaan negeri. Tidak ada.
“Jadi atas sebab itu saya lihat Umno bertepuk sebelah tangan.
“Pada saya, mudah. Jika Umno nak PRN, menteri besar terus saja menghadap Sultan Johor. Kerana kuasa bubar DUN ini ada di tangan menteri besar Johor dan Sultan,” katanya.
Beliau tidak menolak Umno paling beruntung dan meraih kemenangan besar seperti di Melaka jika PRN Johor diadakan.
“Keputusannya akan sama seperti PRN Melaka, peratusan (keluar) mengundi menurun dan akhirnya akan beri kelebihan kepada Umno,” katanya. – 14 Januari, 2022.