Sekat pengkhianat dengan PRN Johor, kata BN
Iklan
PILIHAN raya negeri (PRN) Johor disegerakan bagi menghalang gangguan pengkhianat dari Bersatu, kata pemimpin parti Barisan Nasional (BN).
Ketua peneranganya Isham Jalil berkata langkah itu juga bagi membolehkan kerajaan menggubal dasar dengan lebih selesa.
Katanya, kerajaan negeri pimpinan Umno kini hanya menguasai majoriti satu kerusi tunggal yang menyukarkan kerajaan negeri menggubal sebarang dasar tanpa ditentang oleh pembangkang.
“Johor kita pergi dulu (PRN) baru PRU (pilihan raya umum) sebab saya setuju dengan menteri besar Johor Hasni Mohammad kelebihan satu majoriti ini tidak selesa.
“Macam mana kita nak buat keputusan di peringkat dasar bila orang puak pengkhianat Umno, iaitu Bersatu selalu mengganggu,” kata Isham.
Beliau memberi contoh gangguan itu muncul apabila Umno menyarankan kerajaan membenarkan satu lagi pengeluaran i-Citra dari caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Contoh bila kita nak buat i-Citra di peringkat pusat mereka tak bagi sebab majoriti kita dalam kerajaan tipis,” katanya dalam satu pertemuan bersama veteran Umno Johor.
Rakaman ucapan Isham dalam program tersebut dimuat di laman Facebook hari ini.
Isham yang juga bekas pegawai khas kepada bekas perdana menteri Najib Razak menjangkakan PRN Johor akan diadakan selepas pandemik Covid-19 reda dan bencana banjir selesai.
“Kita buat PRN Johor dulu sebelum PRU15, insya Allah dalam tiga atau empat bulan ini,” katanya.
Pemilihan itu akan memberi peluang Umno akan menang 32 hingga 42 kerusi dari 56 kerusi DUN Johor.
Beliau turut meramalkan presiden Bersatu Muhyiddin Yassin akan kalah di Pagoh pada PRU15 berdasarkan sentimen ditunjukkan pengundi dalam PRN Melaka bulan lalu.
“Tahun lepas saya buat ceramah saya kata Muhyiddin tak boleh menang di Pagoh. Muhyiddin dapat 23,000 undi dalam PRU14 dan Umno 16,000.
“Daripada 23,000 itu hampir 12,000 itu dari pengundi Cina. Kita dapat 21 kerusi di PRN Melaka sebab kerusi Bersatu pecah. Mereka tak dapat undi dari kaum Cina.
Beliau yakin pengundi Cina tidak akan memilih Muhyiddin kali ini dan membolehkan perdana menteri kelapan itu kehilangan 12,000 undi tersebut.
“... Dan sebahagian undi Melayu yang mengundi Muhyiddin adalah pengundi PKR. Kiraan saya Muhyiddin hanya akan dapat 8,000 undi saja di Pagoh,” katanya.
Desas-desus mengenai PRN Johor berlarutan apabila perkara itu tidak dinafikan Menteri Besar Hasni Mohamad.
Hasni semalam berkata beliau tidak pernah membuat sebarang keputusan berhubung PRN namun majoriti tipis itu diambil kira sebelum memutuskan untuk membubarkan DUN Johor.
Umno hanya menguasai kerajaan negeri melalui BN dengan kelebihan satu kerusi selepas Adun Kempas yang juga bekas menteri besar Osman Sapian meninggal dunia pada 21 Disember lalu.
BN menguasai sejumlah 28 kerusi dengan 14 kerusi parti tunjangnya Umno, MIC (2) dan selebihnya PAS (1) dan Bersatu (11).
PH pula menguasai 27 kerusi iaitu melalui DAP (14), Amanah (6) dan PKR (7). – 13 Januari, 2022.