Iklan

Mekanik Kluang kini di Banting bantu mangsa banjir baiki motosikal percuma 

Raevathi Supramaniam3 years ago14th Jan 2022Berita
Mekanik
Sebahagian daripada 30 mekanik dari 12 bengkel untuk memberi khidmat kepada pemilik motosikal yang rosak akibat banjir di Kg Labohan Dagang dan Bukit Changgang di Banting, Selangor. – Gambar The Malaysian Insight, 14 Januari, 2022.
Iklan

SELEPAS menjayakan misi ke Hulu Langat di Selangor, sekumpulan mekanik dari Kluang, Johor kini berada di Banting untuk menyediakan perkhidmatan membaiki motosikal secara percuma yang rosak akibat banjir.

Kali ini, kumpulan itu berjaya mengumpulkan 30 mekanik dari 12 bengkel untuk memberi khidmat kepada pemilik motosikal yang rosak akibat banjir di Kg Labohan Dagang dan Bukit Changgang di Banting, Selangor.

Jurucakap kumpulan itu Ibnu Feisal, 35, berkata mereka berharap untuk membaiki 300 motosikal semasa berada di sana.

“Kami mula membaiki pada 9.30 pagi semalam, dan menjelang petang, kami telah menerima lebih 100 motosikal yang memerlukan pembaikan,” kata Feisal yang memiliki Ujang Motorsport kepada The Malaysian Insight.

“Kami dengar dua kampung ini terjejas teruk akibat banjir, sebab itu kami memutuskan untuk datang ke sini kali ini.”

Kumpulan itu akan berada di Kg Labohan Dagang dan Bukit Changgang selama dua hari (13-14 Januari) dan perkhidmatan mereka disediakan dari 9.30 pagi hingga 6 petang.

Mereka telah membuka kedai di masjid tempatan, Masjid Al Mutmainnah untuk melakukan kerja-kerja pembaikan. Mereka juga berjaya menyebarkan berita itu dengan bantuan muazin.

Kumpulan itu berhasrat untuk membantu seramai mungkin orang kerana mereka sedar ramai yang tidak mampu menghantar motosikal mereka untuk dibaiki.

Antara bengkel yang turut menyertai misi bantuan banjir ke kawasan terjejas untuk membantu penduduk membaiki motosikal secara percuma. – 14 Januari, 2022.

“Ia akan menelan belanja sekurang-kurangnya RM200 untuk membaiki di luar dan ramai yang tidak mampu. Kami mempunyai kemahiran dan kami ikhlas membantu seramai mungkin.”

Kumpulan itu bukan sahaja menyumbangkan masa dan perkhidmatan mereka, mereka juga menyediakan alat ganti secara percuma dan mengeluarkan wang mereka sendiri untuk pengangkutan dan penginapan.

“Semua alat ganti yang kami bawa kali ini bernilai kira-kira RM15,000. Kos untuk petrol kira-kira RM200 dan RM600 untuk dua malam di homestay,” kata Feisal sambil menambah bahawa mereka telah menyewa tiga rumah.

Perkhidmatan yang disediakan oleh kumpulan itu termasuk menukar minyak dan menukar palam pencucuh dan karburetor.

Selepas Banting, Feisal berkata kumpulan itu akan ke Mentakab di Pahang untuk membantu mangsa banjir di sana.

“Seterusnya kami akan ke Mentakab, tetapi tidak pasti bila. Kita perlu melihat cuaca. Jika hujan, kami tidak boleh melakukan pembaikan.”

Pada akhir Disember lalu, kumpulan itu meluangkan masa selama tiga hari membaiki lebih 100 motosikal di Taman Sri Nanding di Hulu Langat, Selangor.

Hujan lebat yang berterusan pada 18 dan 19 Disember menyaksikan sebahagian besar Lembah Klang ditenggelami air.

Taman Sri Nanding dan Banting merupakan antara kawasan yang terjejas teruk dengan air naik ke paras bumbung. Beberapa rumah turut dihanyutkan arus deras. – 14 Januari, 2022.

Iklan
Iklan