Iklan

Warga Scotland sertai 22 maraton pakai kostum untuk kumpul wang amal

Raevathi Supramaniam3 years ago15th Jan 2022Berita
Jeffrey ross tmi 02
Jeffery Ross berasakan rancangannya itu cara mudah mengumpul dana bagi disalurkan kepada badan kebajikan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 15 Januari, 2022.
Iklan

JEFFRY Ross, seorang warga Scotland yang tinggal di Malaysia, menetapkan misi untuk berlari 22 maraton sepanjang tahun dengan menyarung pakaian bodoh. Matlamatnya ialah mengumpul wang buat badan kebajikan selain gaya hidup yang lebih cergas.

Lelaki berusia 47 tahun itu yang memiliki syarikat pengurusan acara, bagaimanapun tidak asing dengan idea gila sesudah menyertai maraton di Gurun Gobi, larian sejauh 250km dalam suhu mencecah 50 darjah Celsius.

“Saya suka mencabar diri sendiri, saya mahu melakukannya sepanjang tahun kerana saya fikir lebih mudah untuk mengumpul dana dengan cara itu,” kata Ross kepada The Malaysian Insight.

“Saya bekerja dalam sektor pengurusan acara dan ia dua tahun yang sukar. Terdapat kemungkinan tahun ini juga sukar, jadi saya hanya mahu melakukan sesuatu yang mana pada hujung tahun kita boleh menoleh ke belakang dan kita melakukan sesuatu yang positif dan mengumpul wang, walaupun segala-galanya teruk.”

Jadi kenapa 22 maraton? Hanya kerana ia tahun 2022, kata Ross.

Ross menyempurnakan larian pertama daripada 22 maraton pada 1 Januari dengan berpakaian seperti Santa Claus dan bagi maraton kedua pada 23 Januari, dia akan berlari dalam kostum gusti sumo.

“Satu-satunya sebab saya memakai kostum itu adalah saya mahu membuat orang ketawa dan tersenyum. Apabila anda berlari-lari dengan pakaian Santa, orang tersenyum dan saya suka dengannya.

“Saya mahu mereka melihat senaman sebagai menyeronokkan dan saya juga mahu meningkatkan kesedaran mengenai apa yang kami lakukan dan mengumpul wang untuk badan kebajikan.

“Saya fikir tiada siapa yang akan memberi perhatian jika saya hanya berlari. Tetapi jika saya kelihatan tidak masuk akal, maka saya mungkin mendapat lebih banyak perhatian.

“Adalah penting buat orang ramai menderma, sebarang derma dialu-alukan, tidak kira kecil atau besar,” kata pelari yang juga jurulatih di Total Running Club itu.

Jeffry Ross akan menggunakan kostum gusti sumo pada acara maraton 23 Januari akan datang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 15 Januari, 2022.

Mengambil inspirasi daripada beberapa rancangan popular di penstriman Netflix, Ross akan melakukan larian seterusnya dalam kostum yang diilhamkan oleh Money Heist dan Squid Game, dan mungkin juga bekas presiden AS Donald Trump.

Berlari menggunakan kostum ada cabarannya dan musuh terbesar Ross sudah pasti cuaca selain kecederaan.

“Saya komited dengannya, jadi saya perlu melakukannya. Maraton tidak pernah mudah, kepanasan kostum adalah cabaran terbesar. Anda akan berpeluh lebih banyak, ia sangat panas.

“Saya tidak terlalu bimbang mengenai masa, ia lebih kepada melakukannya, berseronok dan membabitkan orang lain. Jika ia mengambil masa lapan jam untuk menyelesaikannya, saya akan melakukannya. Selalunya saya berharap ia di bawah empat jam.”

Secara keseluruhan, Ross akan tampil dalam 12 kostum berbeza untuk mengumpul RM200,000 bagi disalurkan kepada lima badan kebajikan.

“Saya ada lima badan amal. Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia bagi bantuan banjir baru-baru ini, The Lost Food Project, Paws Animal Welfare Society, Trap Neuter Release Manage dan Yayasan Chow Kit.

“Tidak semua orang mungkin mahu menderma kepada badan amal yang sama seperti saya. Saya rasa salah satu daripadanya akan menarik minat semua orang dan wang itu akan dibahagikan sama rata.

“Hingga kini, kami sudah mengumpul lebih RM10,000. Saya menggunakan Simply Giving, portal kebajikan. Mereka uruskan pengeluarannya. Setiap bulan mereka memindahkan sumbangan secara sama rata kepada setiap badan amal.”

Kebanyakan maraton akan dilakukan di sekitar Kuala Lumpur, tetapi jika boleh, Ross berhasrat untuk berlari di Pulau Pinang atau Johor.

“Semua larian adalah di KL, tetapi jika saya perlu pergi ke luar negara, maka saya akan melakukannya di sana. Saya akan berlari satu maraton setiap dua minggu. Saya mungkin cuba pergi ke Pulau Pinang dan mungkin Johor.”

Dia juga berharap rakyat Malaysia akan turut serta dalam lariannya.

“Saya juga mahu menggunakan ini sebagai peluang untuk menjadikan orang lebih cergas, yang juga salah satu matlamat saya. Berlari boleh jadi menyeronokkan, ia tidak semestinya membosankan.” – 14 Januari, 2022.

Iklan
Iklan